top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Google, Facebook Umum Bina Kabel Data Dasar Laut 12,000km di Asia


Foto: Unsplash


Google dan Facebook pada 16 Ogos 2021/Isnin mengumumkan rancangan pemasangan kabel internet dasar laut yang menghubungkan Singapura, Jepun, Guam, Filipina, Taiwan dan Indonesia.


Projek dinamakan Apricot itu membabitkan jajaran sepanjang 12,000 kilometer (km) dan dijangka siap pada 2024, katanya dalam kenyataan media berasingan dikeluarkan kedua-dua syarikat berkenaan.

Pengurus Kejuruteraan Facebook, Nico Roehrich, berkata projek itu dilancarkan firma Amerika Syarikat (AS) dan rakan kerjasama serantau serta global.


"Ia membekalkan kapasiti tinggi internet yang sangat diperlukan dan mempertingkatkan keupayaan bagi memperluaskan capaian di rantau Asia Pasifik.


"Kabel Apricot adalah sebahagian usaha berterusan memperluaskan infrastruktur rangkaian global dan mempertingkatkan lagi capaian lebih 3.5 bilion penduduk seluruh dunia yang menggunakan perkhidmatan kami setiap bulan," katanya.


Pada awal tahun 2021, kedua-dua syarikat berkenaan mengumumkan projek pemasangan kabel dinamakan Echo yang menghubungkan AS, Singapura, Guam dan Indonesia.

Sementara itu Naib Presiden Google Cloud, Bikash Kole,berkata Echo dan Apricot adalah sistem kabel dasar laut yang saling melengkapi dengan menawarkan pelbagai manfaat melalui beberapa laluan masuk dan keluar dari Asia.


"Ini termasuk laluan unik melalui Asia Selatan bagi memastikan tahap ketahanan yang lebih tinggi untuk Google Cloud dan perkhidmatan digital.


"Projek ini menyediakan perniagaan dan syarikat baharu di Asia dengan infrastruktur internet yang lebih mudah tetapi dapat meningkatkan kelajuan jalur lebar dan daya tahan rangkaian hubungan antara Asia Tenggara, Asia Utara dan AS," katanya.


Awal tahun 2021, Google dan Facebook menghentikan rancangan membina kabel dasar laut yang akan menghubungkan California serta Hong Kong susulan ketegangan hubungan AS dengan China.


Pada 2021, Jabatan Kehakiman AS mengesyorkan supaya pemasangan kabel yang dicadangkan oleh Google dan Facebook tidak melalui jajaran Hong Kong.



6 views0 comments

コメント


bottom of page