top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

DuitNow Malaysia dan PayNow Singapura Lancar Jalinan Pembayaran Rentas Sempadan pada 2022


Foto: Bank Negara Malaysia


Bank Negara Malaysia (BNM) dan Monetary Authority of Singapore (MAS) pada 27 September 2021/Isnin mengumumkan rancangan untuk mula menghubungkan sistem pembayaran runcit masa nyata DuitNow di Malaysia dan PayNow di Singapura secara berfasa.

BNM dalam kenyataan media pada 27 September 2021/Isnin berkata fasa pertama jalinan DuitNow-PayNow dijangka bermula pada suku keempat 2022.


Katanya fasa ini membolehkan pelanggan perkhidmatan institusi kewangan peserta membuat pindahan dana secara masa nyata antara kedua-dua negara dengan hanya merujuk nombor telefon mudah alih penerima.


"Pelanggan juga boleh membuat pembayaran runcit dengan mengimbas kod QR DuitNow atau NETS yang dipaparkan di hadapan premis perniagaan.


"Projek ini membolehkan proses pembayaran dibuat lebih lancar antara Malaysia dengan Singapura, terutamanya bagi tujuan pengiriman wang yang merekodkan jumlah besar sebanyak RM4.2 bilion pada tahun 2020," kata kenyataan itu.


BNM berkata jalinan ini juga memenuhi keperluan pelawat dari kedua-dua negara, yang mencatatkan jumlah ketibaan besar iaitu secara purata kira-kira 12 juta setahun sebelum pandemik bermula.


Susulan pelancaran ini, BNM dan MAS memperluas jalinan DuitNow-PayNow secara berperingkat dengan menambah lebih banyak fungsi pembayaran dan institusi kewangan peserta.


BNM dan MAS juga mengkaji kemungkinan menggabungkan ciri inovatif seperti penyelesaian berasaskan teknologi lejar teragih untuk memangkin kecekapan penyelesaian dan penjelasan pembayaran antara bank peserta.


Jalinan DuitNow-PayNow merupakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah hubungan erat antara Malaysia dengan Singapura.


Jalinan ini sejajar dengan usaha G20 untuk memacu pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah, inklusif dan telus.


Inisiatif ini juga merupakan satu langkah konkrit ke arah mencapai rangkaian jalinan sistem pembayaran masa nyata dalam kalangan negara ASEAN.



3 views0 comments

Comments


bottom of page