top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

CUCKOO Sedia Labur Lebih RM100 Juta Bina Kilang Di Selangor


Sumber Grafik: Laman Sesawang Cuckoo


CUCKOO International (Malaysia) Sdn Bhd akan melaksanakan pelaburan lebih RM100 juta bagi membina kilang pembuatan peralatan rumah di Selangor, kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya.

BH Online pada 17 Mei 2022/Selasa melaporkan Hoe Kian Choon berkata kilang pembuatannya itu kelak akan menjadi hab kepada penjualan ke pasaran Asia Tenggara.


Beliau berkata, pihaknya masih dalam proses awal dan merancang untuk mencari lokasi tanah yang sesuai bagi menempatkan kemudahan berkenaan.


Katanya, proses pembinaan selepas akan dilaksanakan segera dan ia dijangka mula beroperasi dalam tempoh tiga tahun akan datang.


"Pelaburan RM100 juta akan digunakan untuk membeli tanah dan membina bangunan kilang berkapasiti besar.


"Kami sedang mencari tanah di sekitar Subang yang berhampiran dengan pusat pengedaran CUCKOO.


"Pada masa yang sama, kami juga berasakan Klang mempunyai potensi untuk didirikan kilang kerana kedudukannya yang berhampiran dengan pelabuhan dan jalinan logistik yang cekap," katanya.


Kian Choon menjelaskan pelan pengembangan kumpulan itu juga adalah tepat pada masanya kerana CUCKOO telah merekodkan prestasi kewangan yang memberangsangkan walaupun ketika pandemik melanda negara.


Beliau berkata, pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, kumpulan merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM185.5 juta, meningkat 44 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.


Ia juga, katanya, adalah pertumbuhan tahun ketujuh berturut-turut walaupun ekonomi berhadapan dengan situasi mencabar.


Justeru beliau menegaskan bahawa kumpulan yakin dapat merekodkan pertumbuhan kewangan yang lebih memberangsangkan pada tahun ini.


"Berbekalkan perancangan strategik dan penciptaan lebih banyak produk penyelesaian yang terkini, ia akan membolehkan kami melangkaui prestasi sedia ada.


"Sehingga kini, CUCKOO memperkasakan lebih 1.4 juta rumah dan 4.7 juta pengguna isi rumah dengan penyelesaian produk.


"Pada masa yang sama, kumpulan juga mengembangkan cawangan dengan lebih 640 cawangan di seluruh negara sejak penubuhannya pada 2014," katanya.


Kian Choon berkata, pencapaian kukuhnya itu didorong oleh permintaan terhadap tawaran dan penyelesaian yang lebih sihat serta mampu milik melalui konsep model langganan fleksibelnya.


Beliau berkata, CUCKOO juga membangunkan pelbagai pelan langganan di bawah program GOOODPLAN untuk menyediakan dengan pelbagai pilihan pembayaran mampu milik kepada pelanggan.


Katanya, lebih daripada 90 peratus pelanggan CUCKOO ketika ini menggunakan perkhidmatan berasaskan sewaan, yang mempercepatkan lagi momentum dan pertumbuhan perniagaannya.

5 views0 comments

Comments


bottom of page