top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Collins Aerospace Perkukuh Operasi MRO, Pindah Kemudahan Baharu Di Subang Aerotech Park


Foto Sumber : Collins Aerospace


AERO ANGKASA | Kumpulan Collins Aerospace dari Amerika Syarikat (AS) bakal mengembangkan operasi penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Malaysia dengan berpindah ke kemudahan baharu berkeluasan 160,000 kaki persegi di Subang Aerotech Park.

Kumpulan itu bakal melabur lebih RM16 juta untuk kemudahan baharu berkenaan, yang menjadi salah satu hab serantaunya untuk penyelenggaraan komponen pesawat.


Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan media pada 16 Februari 2022/Rabu berkata pengembangan operasi Collins Aerospace di Malaysia dijangka menyumbang dengan ketara ke arah pertumbuhan industri aeroangkasa negara.


"Lapangan Terbang Subang sudah pun menjadi titik tumpuan rantaian bekalan aeroangkasa negara susulan kehadiran pemain global seperti Spirit AeroSystems, Airbus Helicopters, Leonardo, Execujet dan Dassault Aviation.


"Ia kini mempunyai lebih 60 peserta dan menyokong lebih daripada 4,000 pekerjaan berkemahiran tinggi. Collins Aerospace bukan hanya mengembangkan operasi dari segi kapasiti, tetapi turut memperkenalkan keupayaan lebih awal di kemudahan MRO baharu itu.


"Semua ini akan menyumbang ke arah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab aeroangkasa di rantau ini. Ia adalah selaras dengan objektif yang dinyatakan dalam Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 yang bertujuan untuk menjadikan Malaysia negara aeroangkasa nombor satu di Asia Tenggara," kata Datuk Iskandar Mizal Mahmood.


Sebagai sebahagian daripada pengembangan, kemudahan itu menambah keupayaan MRO baharu untuk mesin kitar udara Collins Aerospace, penukar haba, pemula enjin, injap, kipas dan sistem penggerak.



Foto Sumber : Collins Aerospace


Tapak itu bakal menyokong pelbagai pesawat, termasuk B787, B777X, A320, A380, ATR 42 dan ATR yang membolehkan tempoh pemulihan lebih pantas dan perkhidmatan lebih cekap kepada pelanggannya di rantau ini.


Ia juga abekerjasama rapat dengan Collins Innovation Hub di Singapura untuk meneroka cara baharu menggunakan teknologi termaju bagi meningkatkan aliran pembaikan dan kualiti.


Subang Aerotech Park ialah taman penerbangan industri dan teknologi tinggi seluas 60 ekar yang terletak di dalam Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang) yang dibangunkan oleh Malaysia Airports sebagai sebahagian daripada pembangunan Aeropolis.

4 views0 comments

Commentaires


bottom of page