top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Cherry Mart Sasar Buka 10 Cawangan, Buka Peluang Francais


Sumber Grafik: Facebook Cherry Mart


Cherry Mart, syarikat penuh Bumiputera milik Amatera Sdn Bhd merancang membuka 10 cawangan pasar raya baharu tahun ini, dengan membuka peluang kepada perniagaan francais.

Pengurus Cawangan Cherry Mart berkata peluang perniagaan dengan modal permulaan sekitar RM500,000 bergantung kepada keluasan lot kedai itu dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan merancakkan semula ekonomi negara.


Katanya kesan penularan wabak COVID-19 sejak dua tahun lalu ternyata memberi tamparan yang hebat kepada ekonomi negara dan dunia amnya.


"Ketika ribuan syarikat terpaksa menutup perniagaan, Cherry Mart berharap kehadirannya dalam industri peruncitan negara akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada semua tidak kira latar bangsa dan agama dan sekali gus membantu merancakkan kembali ekonomi negara.


"Bagi yang berminat membuka cawangan francais Cherry Mart, modal permulaan sekitar RM500,000 bergantung kepada keluasan lot kedai. Lokasi komersial dan strategik menjadi sasaran kami, kecuali pusat membeli-belah," kata Hasrul Hisham pada majlis pembukaan cawangan perdana di Kajang, Selangor, lapor BH Online pada 9 JANUARI 2022/Ahad.


Hasrul berkata, pasar raya berkonsepkan pasar basah, kombinasi dengan citarasa kampung itu menjual pelbagai makanan laut segar, termasuk daging dan ayam halal dengan proses penyembelihan mengikut syarak, termasuk sayur-sayuran yang segar dari ladang.


Katanya, Cherry Mart menjanjikan persekitaran dan suasana yang selesa, di mana keunikannya bukan sahaja terletak pada harganya yang berpatutan, tetapi juga khidmatnya yang efisyen dikenali sebagai 'Potong, Bungkus, Hantar', bagi yang mahukan penghantaran terus ke depan pintu rumah.


Tambah beliau bagi penduduk sekitar Bangi, Kajang, Cheras, Putrajaya, Cyberjaya, Sepang dan Nilai boleh mendapatkan khidmat penghantaran ini bermula 15 Januari 2022, menerusi laman web www.cherrymart.com.my

"Bersempena pra-pembukaan Cherry Mart baharu ini juga, kami telah memperkenalkan promosi RM1.97 untuk setengah ekor ayam segar bermula 21 hingga 23 Disember yang lalu bagi sama-sama membantu mereka yang terkesan akibat pandemik dan musibah banjir," katanya.

5 views0 comments

Comments


bottom of page