top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Celcom, LG Uplus, MPB Jalin Kerjasama Teroka Potensi 5G, realiti maya & AR



Celcom Axiata Bhd (Celcom) menjalinkan kerjasama eksklusif bersama LG Uplus Corp dan Media Prima Bhd (MPB) bagi meneroka potensi kandungan dan perkhidmatan 5G untuk pengguna Malaysia.

Dalam kenyataan media pada 20 Oktober 2021/Rabu, Celcom bersama syarikat peranti mudah alih Korea Selatan di bawah naungan LG Corporation serta kumpulan media bersepadu utama di Malaysia itu akan meneroka potensi yang merangkumi teknologi realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR).


"Dengan peningkatan pengstriman video untuk pelbagai gaya hidup di kalangan rakyat Malaysia hari ini, kerjasama Celcom bersama LG Uplus dan Media Prima bertujuan untuk menyediakan kandungan hiburan digital dari Korea serta kandungan tempatan seperti vlog kembara dengan menggunakan teknologi VR/AR dan perkhidmatan 5G," katanya.


Menurut kenyataan itu, melalui manfaat teknologi 5G dengan kapasiti rangkaian yang lebih besar, kelajuan lebih pantas serta kadar kependaman yang lebih rendah, Celcom telah bersedia untuk membina ekosistem kandungan 5G Malaysia yang berfokus kepada hiburan, permainan atas talian, pendidikan dan produktiviti.


"Perkhidmatan 5G dijadualkan bakal tersedia di Malaysia pada akhir 2021, dan oleh itu Celcom ingin bekerjasama dengan lebih banyak peneraju teknologi bagi meneroka dan menempatkan produk 5G dengan perkhidmatan yang merangkumi pelan mudah alih 5G, peranti 5G dan pelan kediaman 5G," katanya.


LG UPlus Corp, pengendali telekomunikasi utama Korea Selatan telah memperkenalkan perkhidmatan 5G pertama di dunia pada Disember 2018.


Sebagai syarikat peranti mudah alih di era 5G, LG Uplus banyak melabur membangun perkhidmatan kandungan 5G menarik melalui rangkaian generasi berikut, yang memberi kependaman rendah dan 20 kali lebih pantas daripada LTE.


LG Uplus terus mendahului usaha memperkasa ekosistem 5G melalui variasi kandungan dan juga pelaburan yang digunakan untuk pelbagai kandungan termasuk hiburan, pendidikan, latihan dan permainan di rumah.


LG Uplus juga giat untuk mengeksport kandungan berasaskan rangkaian 5G dan pengetahuan teknologi kepada operator luar negara untuk memastikan model perniagaan dan kewujudannya adalah lebih kompetitif.


Ketua Pegawai Eksekutif Celcom berkata kerjasama Celcom bersama LG Uplus dan Media Prima memperlihatkan kesungguhan syarikat telekomunikasi itu untuk menyampaikan kandungan dan perkhidmatan 5G yang merangkumi kandungan tempatan dan antarabangsa kepada pengguna Malaysia.


"Celcom telah menjalankan lebih daripada 40 kes kegunaan 5G yang membabitkan pelbagai sektor industri dan perusahaan, untuk membolehkan Celcom mengkaji dengan lebih baik bagaimana teknologi 5G dapat digunapakai sebagai suatu penyelesaian, melaksanakan aplikasi digital, dan perkhidmatan untuk pengguna.


"Celcom akan berkolaborasi dengan LG Uplus dan Media Prima dalam menyediakan aplikasi 5G dan pengalaman digital, kerana kami percaya kerjasama dengan pelbagai industri adalah penting dalam mencapai kesalinghubungan konvergen," kata Idham Nawawi.


Sementara itu, Naib Presiden, Perkhidmatan XR LG UPlus Corp berkata, banyak negara mengkomersialkan rangkaian 5G, dan mempertingkat peluang dalam memperluas ekosistem 5G.


"Kami gembira untuk bekerjasama dengan peneraju industri telekomunikasi di Malaysia dan memberi akses kepada kandungan LG UPlus.


"Selepas Celcom melancarkan perkhidmatan 5G, kami menjangka untuk memberikan perkhidmatan kandungan 5G yang berkualiti tinggi kepada lebih ramai pengguna dan membolehkan mereka menikmati kepelbagaian kandungan hiburan VR dan AR yang mewah daripada LG UPlus.


"LG UPlus telah mencipta kegilaan hiburan VR dan AR di Korea Selatan, dan kami berharap trend ini akan tiba di Malaysia tidak lama lagi, dan membolehkan pengguna menikmati pengalaman digital berasaskan 5G," kata Yoon Ho Choi .


Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima pula berkata, 5G sememangnya membawa pembaharuan dalam penyediaan kesalinghubungan dan kandungan.


"Ia akan mengubah maklumat serta tahap kecekapan, bukan hanya bagi kediaman, malah bagi perniagaan juga.


"Kami di Media Prima sentiasa berusaha untuk melangkaui tahap berikutnya, dan kami sangat teruja untuk memperkenalkan kaedah baru dan inovatif untuk pelanggan menikmati kandungan kami.


"Ini adalah masa untuk meraikan kandungan berkualiti untuk masyarakat, dan kesalinghubungan tanpa sempadan untuk seluruh rakyat Malaysia dan untuk generasi yang akan datang," kata Rafiq Razali.



1 view0 comments

Σχόλια


bottom of page