top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Boost Tawar Insurans Kereta Persendirian



Foto Sumber: Tangkap layar laman sesawang Boost

Boost, e-dompet tempatan memperluaskan penawaran insurans dengan melancarkan CarProtect, produk perlindungan komprehensif untuk kereta persendirian, kata Ketua Pengarah Eksekutifnya.

Sheyantha Abeykoon dalam kenyataan media pada 23 September 2021/Khamis berkata CarProtect menawarkan cara mudah kepada pelanggan untuk mengubahsuai pelan insurans yang paling bersesuaian dengan keperluan mereka.


Katanya pelanggan juga boleh memperbaharui cukai jalan pada masa yang sama dan dihantar ke rumah dengan mudah.


Sebagai ciri keselamatan tambahan, Boost menyertakan 'Butang Kecemasan' untuk pelanggan CarProtect yang menyediakan akses segera kepada 24/7 bantuan sekiranya berlaku kecemasan.


'Butang Kecemasan' ini adalah satu cara yang pantas dan mudah yang memberi akses terus ke laman mengandungi kenalan kecemasan termasuk tuntutan insurans, panel bengkel serta rakan kongsi perkhidmatan bantuan tepi jalan Boost sekiranya berlaku kemalangan atau kerosakan.


"Pelancaran perlindungan insurans kereta baharu itu adalah langkah ke hadapan bagi memacu inovasi dalam ruang insurans di Malaysia.


"Dengan adanya penambahan CarProtect, Boost kini menawarkan 15 pelan insurans perlindungan. Terdapat pelan insurans/takaful yang memenuhi keperluan gaya hidup pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS), seluruh keluarga, penggemar aktiviti kecergasan dan kini, pemilik kereta," katanya.


CarProtect menawarkan perlindungan selama satu tahun untuk kerosakan pada kenderaan yang diinsuranskan akibat kemalangan, kecurian atau kemalangan akibat kebakaran, serta liabiliti terhadap pihak ketiga termasuk kecederaan tubuh badan, kematian, kerugian atau kerosakan harta benda.


Selain itu, ia juga menawarkan perlindungan tambahan yang boleh diubahsuaikan untuk cermin depan, banjir & bahaya khas serta pengecualian ekses wajib (termasuk pemandu tambahan).


Pelan insurans itu ditaja jamin oleh Great Eastern General Insurance (Malaysia) Bhd.


Mulai sekarang hingga 31 Disember 2021, 5,000 pengguna pertama yang memperbaharui insurans kereta mereka bersama Boost akan menerima pulangan tunai sebanyak RM100 di dalam 'Boost Partner Wallet'.


Pengguna berikutnya akan menerima pulangan tunai sebanyak RM50. Pulangan tunai di 'Boost Partner Wallet' boleh digunakan untuk membayar sebarang transaksi Boost.


CarProtect dapat diakses dengan mudah melalui butang 'Insurance' di dalam laman utama aplikasi Boost atau tab 'Do More'.


Pengguna boleh membeli CarProtect dengan empat langkah mudah iaitu memasukkan butiran kenderaan untuk mendapatkan sebut harga; mengubahsuaikan perlindungan yang diingini dengan memilih tambahan (add-on) yang relevan; mengisi maklumat pemilik kereta; serta bayar, dan anda dilindungi.


Setelah melakukan pembelian, semua butiran perlindungan insurans boleh diakses dengan mudah di aplikasi Boost untuk rujukan pantas.

4 views0 comments

Comments


bottom of page