top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Bank Negara Serbu i-Serve Online Mall, Rampas RM118.7 Juta & Bekukan Akaun Bank


Bank Negara Malaysia


Tindakan penguatkuasaan bersama diambil terhadap i-Serve Online Mall Sdn Bhd dan sekutu berkaitannya, menyebabkan 45 akaun bank di tujuh bank dibekukan dan merampas wang tunai berjumlah RM118.7 juta.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan media di laman sesawangnya pada 15 November 2021/Isnin, berkata tindakan itu diselaraskan oleh Pusat Anti Jenayah Kewangan Kebangsaan dengan BNM sebagai agensi utama, bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia , Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan CyberSecurity Malaysia.


i-Serve Online Mall menggambarkan dirinya bermula pada tahun 2001 dengan menyediakan penyelesaian kad pintar dan pembangunan perisian, sebelum maju untuk mencipta kiosk untuk nama besar seperti Eastman Kodak, Nokia serta AirAsia.


Berikut adalah kenyataan media penuh BNM:

Tindakan Penguatkuasaan Bersama Terhadap Syarikat yang Disyaki Terlibat dalam Aktiviti Jenayah Kewangan


15 Nov 2021


Pada 11 November 2021, satu tindakan penguatkuasaan bersama telah diambil terhadap i-Serve Online Mall Sdn. Bhd. dan syarikat sekutunya kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan, termasuk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act 2013, FSA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA).


Sebanyak 22 premis yang berkaitan dengan i-Serve Online Mall Sdn. Bhd. dan syarikat sekutunya di Kuala Lumpur dan Selangor telah diserbu, dan dokumen yang berkaitan dirampas bagi membantu siasatan bersama ini. Tindakan serbuan tersebut juga telah menyebabkan 45 akaun dalam tujuh bank dibekukan serta wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM118.7 juta dirampas.


Tindakan penguatkuasaan bersama ini merupakan sebahagian daripada kerjasama antara agensi bagi membanteras jenayah kewangan di Malaysia. Tindakan penguatkuasaan ini diselaraskan oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai agensi peneraju, bersama-sama dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan CyberSecurity Malaysia.


Orang ramai dinasihati bahawa mana-mana individu yang menerima deposit tanpa lesen dianggap telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 137(1) FSA. Siasatan terhadap kesalahan pengubahan wang haram juga akan dibuat mengikut peruntukan di bawah AMLA.


Jika disabit kesalahan, individu tersebut boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram semasa kesalahan tersebut dibuat atau denda RM5 juta, mana-mana yang lebih tinggi, dan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun.


Sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai diingatkan supaya hanya menyimpan wang dan/atau melabur dengan pihak yang berlesen atau berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkaitan.


BNM dan SC menggesa orang ramai supaya berhati-hati apabila melabur dengan syarikat-syarikat dalam atau luar negara yang menawarkan pelbagai peluang pelaburan di samping menjanjikan pulangan yang lumayan. Sekiranya orang ramai mengetahui atau ditawarkan peluang pelaburan seperti ini melalui promosi media sosial, e-mel atau telefon, mereka digalakkan untuk melaporkan perkara ini kepada BNM atau SC melalui:


Bank Negara Malaysia

259 views0 comments

Comments


bottom of page