top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Bank Negara Perkenal Dana Baharu RM2 Bilion Bantu PKS



Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan dua dana baharu untuk perusahaan kecil dan sederhana (BNM) iaitu Kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (BRF) dan Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF), masing-masing berjumlah RM1 bilion.

Bank pusat itu dalam kenyataan media pada 21 Januari 2022 berkata, seperti diumumkan semasa uBajet 2022 oleh Menteri Kewangan, ia memperkenalkan dua kemudahan baharu di bawah Dana BNM untuk PKS.


Katanya, permohonan untuk kemudahan berkenaan dibuka mulai 3 Februari 2022 sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya.


"BRF bertujuan menyokong PKS untuk pulih dan berkembang, di samping menguruskan tahap keberhutangan mereka melalui penyelesaian pembiayaan yang inovatif.


"Di bawah BRF, PKS boleh mendapatkan pembiayaan ekuiti melalui terbitan saham keutamaan, saham biasa, atau sebarang instrumen mirip ekuiti yang sesuai atau gabungan antara pembiayaan hutang daripada institusi kewangan peserta (IKP) dan pembiayaan ekuiti melalui pembiaya ekuiti pihak ketiga (kewangan campuran).


"BRF ini tersedia untuk PKS daripada semua sektor ekonomi, sehingga maksimum RM5 juta bagi membiayai modal kerja dan/atau perbelanjaan modal. Tempoh pembiayaan adalah sehingga 10 tahun," katanya.


Bagi gabungan antara pembiayaan hutang daripada IKP dan pembiayaan ekuiti, kadar efektif di bawah BRF adalah sehingga 3.5 peratus setahun untuk pembiayaan tanpa jaminan, atau sehingga 5.0 peratus setahun termasuk sebarang fi jaminan.


PKS yang berminat boleh memohon terus daripada bank-bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan peserta yang dikawal selia oleh BNM.


Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata penyelesaian pembiayaan yang lebih inovatif seperti kewangan campuran dan pembiayaan ekuiti, menggabungkan sumber, kapasiti dan pengetahuan merentas sektor awam dan swasta termasuk bank-bank, institusi kewangan pembangunan dan pelabur ekuiti bagi membantu perniagaan bangkit semula dengan lebih baik dalam landskap selepas pandemik.


Bagi LCTF, ia untuk menyokong dan menggalakkan PKS menerapkan amalan kelestarian bagi meningkatkan daya tahan perniagaan.


Di bawah kemudahan ini, institusi kewangan akan menyediakan dana padanan sebanyak RM1 bilion daripada dana mereka sendiri.


Kemudahan ini adalah selaras dengan matlamat Kerajaan untuk mencapai sasaran ekonomi pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050.


Amalan kelestarian ini termasuk tetapi tidak terhad kepada aktiviti untuk mendapatkan pensijilan kelestarian; meningkatkan penggunaan bahan yang diakui lestari dalam aktiviti pengeluaran; menambahbaik kecekapan tenaga bangunan dan peralatan; dan memasang peralatan jana kuasa tenaga boleh baharu di premis.


LCTF ini tersedia untuk PKS daripada semua sektor, sehingga maksimum RM10 juta bagi setiap PKS untuk tujuan pembiayaan modal kerja dan/atau perbelanjaan modal. Tempoh pembiayaan adalah sehingga 10 tahun.


Kadar pembiayaan adalah sehingga 5.0 peratus setahun, termasuk sebarang fi jaminan.


PKS yang berminat boleh memohon terus daripada bank-bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan peserta yang dikawal selia oleh BNM.


"Terdapat keperluan mendesak bagi PKS untuk menerapkan amalan kelestarian dalam operasi perniagaan masing-masing pada masa hadapan.


"LCTF menggalakkan usaha ini dan menyokong industri kewangan untuk meningkatkan inovasi terhadap produk-produk yang ditawarkan bagi memudahkan perniagaan menerapkan amalan kelestarian dan menyesuaikan semula operasi dan proses perniagaan mereka," kata Nor Shamsiah.


Baru-baru ini, BNM meningkatkan peruntukan Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF) sebanyak RM300 juta, menjadikan peruntukan keseluruhan berjumlah RM500 juta.


PKS dan perusahaan mikro yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM700,000 bagi setiap PKS dan sehingga RM150,000 bagi setiap perusahaan mikro.


Tempoh pembiayaan turut dilanjutkan sehingga tujuh tahun.


PKS boleh menghubungi BNM melalui bnm.my/LINK untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan DRF.


PKS juga boleh mengakses pelbagai kemudahan yang terdapat di bawah Dana BNM untuk PKS.


Butiran mengenai dana ini boleh didapati melalui bnm.gov.my/sme-financing.

3 views0 comments

Comments


bottom of page