top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Bank Negara Kekal OPR Pada Kadar 1.75 Peratus


Foto: Bank Negara Malaysia


Bank Negara Malaysia membuat keputusan pada 9 September 2021/Khamis untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 1.75 peratus.

Bank Pusat itu pada kenyataan media pada 9 September 2021 berkata ekonomi global terus pulih, disokong oleh peningkatan aktiviti perkilangan dan perkhidmatan.


Katanya kekuatan pemulihan berbeza-beza merentas pelbagai negara terutamanya mengikut liputan pemberian vaksin, pelonggaran langkah pembendungan dan tahap sokongan dasar.


"Negara yang mencapai kemajuan lebih baik dalam pelaksanaan program pemberian vaksin dapat melonggarkan langkah pembendungan dan membolehkan aktiviti dalam negeri terus pulih.


"Rangsangan fiskal dan monetari yang besar di beberapa negara maju terus menyokong momentum pemulihan. Keadaan kewangan juga kekal menyokong pertumbuhan.


"Secara keseluruhan, imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan global cenderung ke arah pertumbuhan menjadi lebih perlahan," kata Bank Negara.


Bank Negara berkata hal ini disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pandemik berikutan munculnya varian membimbangkan dan potensi risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara berikutan perubahan dasar monetari ekonomi utama.


Katanya bagi ekonomi Malaysia, pelaksanaan semula langkah pembendungan di seluruh negara bagi mengekang penularan semula kes COVID-19 memperlahankan momentum pertumbuhan.


Walau bagaimanapun, pelonggaran diberikan secara berperingkat baru-baru ini kepada lebih banyak sektor ekonomi beroperasi, di samping kemampuan syarikat yang lebih tinggi membuat penyesuaian dalam persekitaran operasi baharu serta sokongan dasar berterusan, sebahagiannya mengurangkan kesan tersebut dan membolehkan ekonomi terus berada pada landasan pemulihan.


Bank Negara turut memaklumkan sejak awal tahun hingga kini, purata inflasi keseluruhan ialah 2.3% dan diunjurkan antara 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2021.
Katanya inflasi asas, seperti diukur inflasi teras, dijangka kekal rendah, berpurata antara 0.5% hingga 1.5% untuk tahun ini, dalam keadaan lebihan kapasiti berterusan dalam ekonomi.

"Walau bagaimanapun, prospek ini terus bergantung pada perkembangan harga komoditi global dan langkah dasar bagi meringankan bebanan kos ditanggung orang ramai. Walau bagaimanapun, inflasi asas dijangka kekal rendah secara relatif pada tahun 2022," kata Bank Negara.




5 views0 comments

Comments


bottom of page