top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

AirAsia Sasar Muncul Penghantar Makanan e-Panggilan Terbesar Asia



AirAsia Group menyasar menjadi syarikat penghantaran makanan dan e-panggilan terbesar di Asia daripada hanya menawarkan penerbangan di rantau ini, susulan kejayaan pengambilalihan platform perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian tempatan, Delivereat, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkata beliau yakin 'airasia food' dan Super App boleh menjadi antara syarikat penghantaran makanan dan e-panggilan serta agensi pelancongan dalam talian terbesar di Asia.


"Ketika (saya memulakan) AirAsia, saya sentiasa fikir kalau kami boleh menjadi syarikat penerbangan terbesar, dan kami berjaya melakukannya. Kami adalah syarikat penerbangan keempat terbesar di Asia. Kami bermula dengan hanya dua pesawat, 200,000 penumpang, dan kini kami mencatatkan 90 juta penumpang.


"Jadi saya duduk dan fikir, bolehkah kami menjadi syarikat penghantaran makanan dan syarikat e-panggilan terbesar? Hari ini, secara rasminya saya berkata bahawa kami boleh. Saya berpandangan, kami akan melakukannya dan (mengatasi) pesaing sedia ada sebagaimana kami mengatasi syarikat penerbangan lain," kata Tan Sri Tony Fernandes pada sidang media, lapor BERNAMA pada 17 Januari 2022.


Fernandes berkata beliau mahu mengembangkan perkhidmatan penuh aplikasi itu ke Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina dalam jangka pendek.


Terdahulu, beliau juga mengumumkan pelantikan Pengasas Delivereat, Tan Suan Sear sebagai Ketua Kumpulan airasia food di bawah AirAsia Super App serta Leong Shir Mein sebagai Ketua Perkhidmatan Atas Permintaan bagi cabang logistik AirAsia, Teleport.


Fernandes berkata AirAsia Group teruja dengan perkongsian itu memandangkan ia menyokong strategi syarikat untuk terus memberi perkhidmatan kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan dan menjadi syarikat penyampaian nilai terbaik di ASEAN.


Beliau turut mengatakan rasa kagum terhadap Delivereat, sebuah syarikat penghantaran tempatan yang mampu berdiri sendiri, mengekalkan kemampanan operasi syarikat dan menawarkan platform perniagaan dan pekerjaan kepada masyarakat.


Pada Ogos lepas, cabang logistik digital AirAsia, Teleport, menandatangani perjanjian untuk membeli 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Delivereat pada AS$9.8 juta bagi mengukuhkan perkhidmatan penghantarannya di negara ini.


Berikut adalah kenyataan media penuh:

airasia food umum pengasas Delivereat Tan Suan Sear sebagai Ketua Kumpulan airasia food:


PULAU PINANG, 16 Januari 2022 - Berikutan kejayaan pengambilalihan platform perkhidmatan penghantaran makanan Delivereat dengan nilai AS$9.8 juta pada Ogos 2021, airasia Group hari ini mengumumkan perlantikan pengasas Delivereat Tan Suan Sear sebagai Ketua Kumpulan airasia food di bawah airasia Super App. Beliau akan bertanggungjawab untuk memacu pertumbuhan perkhidmatan penghantaran makanan di platform airasia Super App di seluruh Malaysia serta rancangan perkembangannya di seluruh Asean sejajar dengan visi digital syarikat.


Pengumuman tersebut dibuat semasa sidang akhbar yang diadakan di Straits Quay, Pulau Pinang, di mana Suan Sear, yang merupakan anak jati Pulau Pinang dan isterinya, Leong Shir Mein (juga dilantik sebagai Ketua Perkhidmatan Atas Permintaan untuk cabang logistik airasia, Teleport) menubuhkan Delivereat sebagai sebuah syarikat permulaan tempatan pada tahun 2012. Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Group dan Lim Ben-Jie, Ketua Penghantaran (e-Dagang) airasia Super App turut menghadiri majlis tersebut untuk mengumumkan pelantikan baharu itu.


Tan Suan Sear, Ketua Kumpulan airasia food berkata, “Saya berbesar hati untuk menyertai airasia food dan keluarga airasia Super App dan membawa pengalaman selama sedekad di dalam industri penghantaran makanan kepada airasia food. Perjalanan perkhidmatan penghantaran airasia Super App merupakan satu kisah inspirasi sejak ia dilancarkan pada tahun lepas, dan daripada satu jenama tempatan kepada jenama tempatan yang lain, saya yakin pasukan kami dapat mengukuhkan kedudukan airasia food sebagai perkhidmatan penghantaran makanan pilihan di rantau dalam masa terdekat.”


Dengan hanya dua rakan penghantar dan satu restoran di bawah jenamanya pada tahun 2012, Suan Sear dan Shir Mein telah menjadikan Delivereat sebagai sebuah jenama terkenal dengan menghantar lebih daripada satu juta tempahan setakat ini, dan menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan ekspres atas permintaan daripada lebih 4,000 peniaga (antaranya restoran, pasar, farmasi dan kedai runcit), dihantar oleh 4,000 rakan penghantar yang berdaftar.


Delivereat meliputi Pulau Pinang dan Lembah Klang, dan menerajui ruang penghantaran makanan dengan pilihan penjaja terbesar di Pulau Pinang kira-kira 1,000 penjaja dan merupakan syarikat penghantaran pertama yang membenarkan pelanggan menggabungkan beberapa pesanan dalam satu penghantaran sama.


Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Group berkata, “Kami teruja untuk mengalu-alukan Suan Sear dan Shir Mein dalam pasukan kami kerana mereka mempunyai pengalaman luas dan kesungguhan tinggi yang akan membantu strategi kami untuk terus menawarkan perkhidmatan kepada semua golongan dan menjadi platform penghantaran makanan dengan nilai terbaik di Asean.


“Sama seperti Pengasas Dacsee Lim Chiew Shan yang kini menjadi Ketua Pegawai Eksekutif airasia ride, langkah ini menyerlahkan komitmen airasia Group untuk memperoleh dan memupuk bakat tempatan dengan membawa mereka yang berpengalaman dalam setiap industri. Kami percaya inisiatif ini akan mengukuhkan dan mendorong kejayaan cabang digital syarikat, seperti laporan Credit Suisse yang mengiktiraf kami sebagai salah satu daripada tiga Unicorn ASEAN yang berpangkalan di Malaysia.”


Lim Ben-Jie, Ketua Penghantaran (e-dagang) airasia Super App berkata, “airasia adalah sebuah jenama ASEAN, daripada pelanggan kepada kakitangan, dan kini bakat yang kami bawakan. Menerusi kepakaran Suan Sear dalam bidang ini serta peniaga-peniaga baharu yang menyertai kami daripada Delivereat, seperti McDonald's, Tealive dan rakan penghantar, kami berharap platform airasia food akan menjadi lebih kukuh, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakan penghantar, menawarkan lebih nilai dan pilihan untuk para pelanggan dan yang paling penting menjadikan sebuah platform lebih baik untuk memberikan keuntungan kepada para peniaga dan menyokong transformasi digital mereka.”


Untuk maklumat dan promosi terkini, ikuti @airasiasuperapp di Instagram dan Facebook.



4 views0 comments

Comments


bottom of page