top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

AirAsia Group Siap Sedia Terbang Kembali


Logo: Air Asia


AirAsia Group kini bersedia untuk kembali terbang dengan dibarisi kakitangan barisan hadapan yang divaksin sepenuhnya, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya.


Tan Sri Tony Fernandes dalam kenyataan media pada 26 Ogos 2021/Khamis berkata ini berserta langkah keselamatan tanpa sentuhan dan kebersihan tertinggi menjelang pembukaan perjalanan udara dijangka diumumkan dalam waktu terdekat.


"Kami bersedia untuk kembali terbang dan sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan yang ketat, kami mewajibkan semua kakitangan operasi dan barisan hadapan seperti juruterbang, kru kabin dan kakitangan lapangan terbang divaksin sepenuhnya sebelum kembali bertugas," katanya.


Beliau berkata dengan protokol kesihatan dan kebersihan yang ketat serta prosedur operasi standard mantap, keseluruhan perjalanan penumpang lebih terjamin apabila mereka kembali terbang bersama AirAsia nanti.


"Lebih daripada 50 negara di seluruh dunia mula membuka pintu kepada pelancong yang divaksin. Selaras usaha mempercepatkan proses vaksinasi di ASEAN, kita berharap negara-negara ini melonggarkan sekatan perjalanan terhadap pelancong yangdivaksinasi untuk perjalanan domestik dan antarabangsa serta meneruskan rancangan gelembung perjalanan.


"Dengan proses vaksinasi agresif di semua pasaran utama, berserta ujian saringan semakin dipertingkat dan penyebaran maklumat lebih tepat, kemelut pandemik ini semakin jelas menuju penghujungnya dan saya yakin kita dapat kembali terbang dalam beberapa minggu lagi. Apa paling penting, kami bersiap sedia sepenuhnya untuk berlepas," katanya.





Menurut kenyataan itu, keselamatan kakitangan dan tetamu keutamaan AirAsia Group, menjadikannya salah sebuah syarikat penerbangan pertama di dunia yang menerima pengiktirafan tertinggi 7/7 daripada pakar penerbangan di Airlineratings.com berikutan langkah keselamatan COVID-19 yang dilaksanakannya sejak pandemik bermula.


Bagi meminimumkan sentuhan fizikal dan mengurangkan tempoh prosedur di lapangan terbang, tetamu AirAsia digalakkan mendaftar masuk kendiri secara dalam talian melalui platform airasia super app dan menggunakan kemudahan daftar masuk bagasi automatik untuk mengelakkan bayaran perkhidmatan di kaunter.


AirAsia turut menyediakan pelbagai pilihan pembayaran secara digital dan menerima pas masuk elektronik di semua lapangan terbang.


Kemudahan daftar masuk kendiri baharu membolehkan para tetamu mengesahkan dokumen perubatan dan kesihatan yang diperlukan secara automatik dalam talian sebelum mereka menuju ke lapangan terbang.


AirAsia juga dalam proses untuk melancarkan teknologi pengecaman wajah biometrik di lapangan terbang utama, bermula dengan klia2 dalam masa terdekat.


AirAsia turut mengintegrasikan sistem daftar masuk melalui airasia super app dengan aplikasi kesihatan digital MySejahtera oleh kerajaan Malaysia untuk menjadikan prosedur daftar masuk kendiri lebih mudah dan lancar.


"Di sebalik semua ketidakpastian berikutan COVID-19, saya yakin kami akan kembali terbang dengan model perniagaan lebih luas dan berdaya maju yang tidak hanya bergantung pada tambang penerbangan sahaja kerana transformasi digital kami untuk menjadi super app pilihan ASEAN semakin menjadi kenyataan," kata Fernandes.



17 views0 comments

Comments


bottom of page