top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Ahli KWSP Boleh Langgan Lapan Dana Unit Amanah



Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini boleh melanggan sehingga lapan dana unit amanah daripada maksimum lima Institusi Pengurusan Dana (IPD) dalam satu transaksi pembelian menerusi kemudahan layan diri i-Invest KWSP.


Sebelum ini, ahli hanya dibenarkan untuk membeli beberapa dana unit amanah daripada satu IPD sahaja dalam satu transaksi pembelian.


KWSP dalam kenyataan media pada 25 Oktober 2021/Isnin, berkata ciri baharu i-Invest itu membolehkan ahli untuk mengakses kemudahan terbabit dengan lebih baik ketika membuat pilihan pelaburan.


"Walaupun ahli boleh membeli dana unit amanah daripada lebih daripada satu IPD, transaksi yang membabitkan beberapa IPD ini hanya boleh dilakukan melalui Institutional Unit Trust Scheme Advisers (IUTA) yang dilantik dan menawarkan dana dari pelbagai IPD.


"Ahli masih diberi pilihan untuk membeli dana daripada setiap IPD individu," katanya.


KWSP berkata, pengguna kemudahan i-Invest kini juga perlu menjalani penilaian kesesuaian pelaburan sebelum melakukan sebarang transaksi.


"Penilaian ini akan memprofil tahap toleransi risiko ahli bagi membolehkan mereka membuat pilihan pelaburan yang lebih termaklum," katanya.


Kemudahan i-Invest KWSP yang dilancarkan pada Ogos 2019 adalah platform digital yang menawarkan pelbagai fungsi, fleksibiliti, dan kemudahan untuk ahli membuat pelaburan dan transaksi serta memantau pelaburan unit amanah pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.


Melalui kemudahan itu, ahli boleh membuat perbandingan antara dana unit amanah yang ditawarkan oleh IPD, melihat senarai gabungan pegangan pelaburan mereka dan maklumat berkaitan kos pelaburan, sejarah prestasi dana serta maklumat statutori yang berkaitan dengan IPD berkenaan.


"Sebagai kemudahan layan diri yang memperkasakan ahli untuk menguruskan sendiri masa depan kewangan mereka, KWSP memastikan garis panduan tadbir urus berkaitan kemudahan tersebut dipatuhi oleh semua badan yang terbabit," tambah KWSP.

0 views0 comments

Comments


bottom of page