top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

JF Technology Labur RM40 Juta Wujud Pusat Ujian Di Kota Damansara




Penyedia penyelesaian antara muka ujian berprestasi tinggi untuk litar bersepadu (IC), global JF Technology Bhd melabur RM40 juta bagi menubuhkan Pusat Ujian Sentuh Kecemerlangan di Kota Damansara, Selangor.

Syarikat itu dalam kenyataan media pada 16 Mac 2022 menjelaskan pelaburan itu sebahagian rancangan mengembangkan perniagaan serta mengambil peluang besar dalam industri semikonduktor.


Pusat yang terletak dalam fasiliti sedia ada syarikat itu dilengkapi dengan makmal dan peralatan canggih bagi pembangunan produk serta harta intelektual (IP) baharu untuk memenuhi kehendak pelanggan dari seluruh dunia.


Pengarah Urusannya berkata JF Technology terus melabur di pusat itu terutama dalam pembangunan modal insan.


"Kami bangga bahawa JF Technology beroperasi dengan 99 peratus bakat tempatan dan akan meneruskan komitmen ini dengan mewujudkan lebih banyak pekerjaan melalui pusat berkenaan dengan penekanan kepada pekerjaan teknikal berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia.


"Ini, digabungkan dengan pembangunan berterusan serta peningkatan ekosistem teknologi dan inovasi di negara ini akan terus mengukuhkan kelebihan daya saing Malaysia selain memacu negara ke atas rantaian nilai semikonduktor," kata Datuk Foong Wei Kuong.


Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) ketika mengulas mengenai pusat itu menjelaskan, projek terbabit bertepatan pada masanya dan amat penting, sejajar dengan pelancaran 5G semasa termasuk potensi sumbangannya kepada ekonomi rakyat Malaysia daripada segi pekerjaan berpendapatan tinggi.


Datuk Arham Abdul Rahman berkata ini membuktikan keupayaan sebuah syarikat Malaysia dalam mengguna pakai teknologi generasi akan datang.


Penubuhan Pusat Ujian Sentuh Kecemerlangan ini amewujudkan 77 pekerjaan baharu menjelang 2025 dengan sebanyak 80 peratus daripada pekerjanya memerlukan individu berlatar belakang teknikal dan kejuruteraan.

"Ini memantapkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan strategik untuk syarikat global dalam industri jentera dan peralatan (M&E) khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik serta kenderaan autonomi.


"Daripada segi penerimaan serta pengeluaran produk berkaitan teknologi 5G yang canggih, pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan yang berkaitan dengan 5G termasuk pemindahan teknologi baharu dalam rantaian nilai pembuatan, projek ini mempunyai potensi yang besar untuk mewujudkan kesan pengganda dalam ekonomi domestik," katanya.

3 views0 comments

Comments


bottom of page