SU-30 MKM milik TUDM. Sumber Foto: Wikipedia
Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah sepanjang latihan operasi bermula 3 Mac 2022 (Khamis) hingga 7 Mac (Isnin) 2022 ini.
TUDM dalam kenyataan media pada 3 Mac 2022/Khamis berkata, penerbangan tersebut melibatkan beberapa kawasan tertentu di sekitar Selangor, Pangkalan Udara Gong Kedak, Pangkalan Udara Butterworth dan Pangkalan Udara Kuantan.
Justeru, TUDM memaklumkan kepada orang ramai agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat tersebut terbang rendah sepanjang latihan dan operasi dilaksanakan.
“Latihan dan operasi ini bertujuan menilai kecekapan anak kapal TUDM, anggota Pasukan Khas Udara (Paskau) dan pasukan sokongan logistik dalam melaksanakan tanggungjawab melindungi kedaulatan negara.
“Latihan ini juga bertujuan menguji keupayaan peralatan persenjataan serta kesiagaan aset TUDM bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan tugas operasi bersama melibatkan pesawat pelbagai kategori,” katanya.
Sumber Foto: Facebook TUDM
Berikut adalah kenyataan media penuh :
HEBAHAN BERKENAAN LATIHAN OPERASI DAN KESIAGAAN TUDM
Kuala Lumpur - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan latihan operasi dan kesiagaan bagi aset-aset udara bermula 3 hingga 7 Mac 2022 .
Latihan operasi dan kesiagaan ini bertujuan untuk menilai kecekapan anak kapal TUDM, anggota-anggota Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dan pasukan sokongan logistik dalam melaksanakan tanggungjawab melindungi kedaulatan negara.
Di samping itu, latihan ini bertujuan untuk menguji keupayaan peralatan persenjataan serta kesiagaan aset-aset TUDM bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan tugas operasi bersama yang melibatkan pesawat-pesawat dari pelbagai kategori seperti pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter.
Sepanjang latihan berlangsung, pesawat-pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan-kawasan tertentu khususnya di sekitar negeri Selangor serta Pangkalan Udara Gong Kedak, Pangkalan Udara Butterworth dan Pangkalan Udara Kuantan.
TUDM ingin memaklumkan kepada orang ramai agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM terbang rendah di sepanjang tempoh latihan operasi dan kesiagaan dilaksanakan.
Bình luận