top of page

Sebahagian besar dunia dijangka alami gelombang haba ekstrem hingga Ogos

Writer's picture:  MOHD EZLI  MASHUT MOHD EZLI MASHUT



GLOBAL | GENEVA: Gelombang haba akibat cuaca panas dijangka terus melanda sebahagian besar kawasan dunia hingga sepanjang Ogos depan, susulan suhu tinggi mencecah rekod dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Sebelum ini, Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) menjangkakan suhu di Amerika Utara, Asia, Afrika Utara dan Mediterranean berpanjangan melepasi 40 darjah Celsius 'selama beberapa hari minggu ini seiring peningkatan gelombang haba.'


"Kita harus menjangka atau sekurang-kurangnya membuat perancangan untuk menghadapi gelombang haba melampau berterusan hingga Ogos," kata Penasihat Kanan Haba Ekstrem WMO, John Nairn, kepada Reuters, pada 21 Julai 2023.


Eropah Selatan sedang bergelut dengan gelombang haba yang mencecah tahap rekod baharu ketika waktu puncak pelancongan musim panas, sehingga mendorong pihak berkuasa untuk memberi amaran mengenai peningkatan risiko masalah kesihatan dan kematian.


Cuaca melampau turut menjejaskan kehidupan jutaan penduduk Amerika, dengan suhu tinggi dilaporkan dari California Selatan hinggalah ke Deep South.


Cuaca panas terik juga melanda Asia Barat.


Sejajar perubahan iklim, Nairn berkata, gelombang haba semakin kerap berlaku dan merentasi musim.


"Kita sedang melihat aliran kenaikan suhu global yang akan menyumbang kepada peningkatan intensiti dan kekerapan gelombang haba.


"Terdapat petunjuk agak jelas bahawa ia telah meningkat hingga memasuki musim bunga," katanya.


Sebilangan negara, termasuk Kesatuan Eropah (EU), berharap semua pihak pada persidangan iklim bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), akhir tahun ini, akan bersetuju untuk memberhentikan penggunaan bahan api fosil yang menyumbang kepada perubahan iklim.


Bagaimanapun, negara yang memiliki sumber gas dan minyak dilaporkan membantah cadangan itu.


"Terdapat bukti sangat kukuh bahawa jika bahan api fosil dihapuskan, kita akan mengurangkan penyumbang utama kepada keadaan yang sedang dilihat sekarang.


"Kita tidak dapat mengubahnya secara tergesa-gesa, namun kita pasti mampu bertindak," kata Nairn.


Sumber - REUTERS

0 lihatan0 komen

Comments


IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page