![](https://static.wixstatic.com/media/f6aa5b_6c7403fb01c14a2aa7effb290253293d~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_759,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/f6aa5b_6c7403fb01c14a2aa7effb290253293d~mv2.jpg)
TEKNOLOGI | Syarikat teknologi angkasa lepas tempatan, Angkasa-X Innovation Sdn Bhd menawarkan data satelit percuma kepada semua agensi kerajaan, universiti dan syarikat bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Angkasa-X berkata tawaran perkongsian data itu adalah secara percuma kepada semua pihak yang berminat, susulan kejayaannya melancarkan satelit orbit rendah bumi (LEO) pertama buatan tempatan, A-SEANSAT-PG1 bulan Jun 2023 ke angkasa lepas dan berjaya menghantar isyarat kembali ke stesen bumi.
"Kami teruja dengan inisiatif ini dan menekankan manfaat besar yang dibawa oleh tawaran ini kepada Malaysia.
"Dengan pencapaian penting ini, Angkasa-X menawarkan organisasi tempatan, baik dalam sektor awam mahupun swasta akses percuma kepada rangkaian aplikasi Earth Observation (EO) dan Automatic Identification Systems (AIS) untuk tempoh 12 bulan bermula Julai 2023," kata Dr Sean Seah dalam satu kenyataan.
Seah berkata, keterangkuman sosial adalah teras kepada nilai syarikat dan kini buat pertama kalinya organisasi boleh menjalankan R&D untuk aplikasi masa hadapan bagi satelit LEO generasi seterusnya.
Beliau berkata, tawaran itu juga akan membolehkan organisasi beroperasi dengan lebih cekap dan membuat keputusan berasaskan data, sambil meningkatkan produktiviti.
"Kami percaya dengan memanfaatkan data yang disediakan oleh satelit PG1, kita secara kolektif boleh menyumbang kepada pertumbuhan dan kemajuan Malaysia merentasi pelbagai sektor," katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Angkasa-X, Dr William Lim, berkata tawaran aplikasi EO dan AIS percuma itu adalah sejajar dengan komitmen syarikat.
Beliau berkata, melalui inisiatif itu, syarikat berharap dapat merapatkan jurang digital dan manfaat daripada data itu tanpa mengira saiz atau sumber setiap organisasi.
"Teknologi seharusnya menjadi pemboleh ubah untuk semua, membantu memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih maju, inklusif dan makmur," katanya.
Comments