
Sumber Foto: The Astronomy
GLOBAL | WASHINGTON – Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) meramalkan 80 peratus kebarangkalian ribut Matahari kuat akan melanda Bumi pada 14 Mac 2022.
Akhbar Daily Star pada 13 Mac 2022/Ahad melaporkan menurut data NOAA, terdapat 20 peratus kebarangkalian ribut itu akan memberi kesan kepada Britain.
Susulan fenomena itu, orang ramai di seluruh dunia berpeluang melihat Aurora, iaitu satu fenomena cahaya yang sering dilihat di kawasan berlatitud tinggi. Ia dijangka dapat dilihat lebih jauh ke arah Khatulistiwa semasa ribut itu berlaku.
“Penemuan tepat! Model ramalan NOAA dan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menunjukkan ribut suria akan melanda Bumi antara pukul 8 malam hingga 5 pagi (waktu tempatan),” kata seorang ahli fizik angkasa lepas, Dr. Tamitha Skov menerusi ciapan di laman Twitter.

Sumber Grafik: Space Weather
Tambah Skov, kesan daripada fenomena tersebut dijangka kuat.
“Aurora mungkin boleh dilihat jauh ke latitud tengah selain akan berlakunya gangguan kepada radio amatur dan penerimaan GPS, terutamanya menjelang waktu subuh, senja atau malam di Bumi,’’ katanya dalam ciapan yang sama.
Pada 10 Mac 2022/Khamis lalu, satu suar suria kelas C yang agak lemah meletus dari sisi Matahari yang menghadap Bumi.
Ahli astronomi dan penulis laman spaceweather.com, Dr. Tony Phillips berkata, suar itu kebiasaannya adalah luar biasa dengan letusan kali ini dikatakan bertahan selama hampir 12 jam.
Comments