top of page

Pengguna Lebih Banyak Pilihan Kereta Elektrik Pada 2023 - Penganalisis

Writer's picture:  MOHD EZLI  MASHUT MOHD EZLI MASHUT

Sumber Foto Hiasan : Unsplash



AUTOMOTIF | Pengguna mempunyai lebih banyak pilihan kenderaan elektrik (EV) apabila beberapa model baharu bakal diperkenalkan di Malaysia pada 2023, sekali gus berpotensi menjadi galakan kepada penggunaan kereta sedemikian dalam kalangan rakyat.

Peralihan kepada EV adalah salah satu langkah kerajaan dalam mencapai hasrat menjadikan negara rendah karbon pada masa depan.


Penganalisis RHB Investment Bank Bhd berkata segmen EV masih positif dan menarik dengan dijangkakan lebih banyak EV akan ditawarkan pada peringkat tempatan pada tahun depan.


Jim Lim Khai Xhiang berkata, antara yang akan memperkenalkan kenderaan EV baharu adalah daripada pengeluar China seperti Atto 3 keluaran BYD dan Ora Good Cat daripada Great Wall Motor.


Katanya, Bermaz Auto Bhd dan Sime Darby Motors turut mempunyai pilihan EV yang paling banyak dan ini memberikan mereka kelebihan untuk menarik penggunaan EV yang semakin meningkat pada peringkat tempatan serta serantau selain BMW yang dijangka akan menawarkan EV i7 dan i5, di samping XM hibrid pemalam.


"Sementara itu, BYD sedang menerima beribu-ribu pesanan bagi Atto 3 manakala Bermaz pula akan melancarkan EV Peugeot e-2008 baharu dan Kia PBV1. Toyota juga akan memperkenalkan EV bateri pertamanya, bZ4X.


"Kami juga menjangka untuk melihat kenderaan baharu di atas jalan raya, seperti Ora Good Cat keluaran Great Wall Motors.


"Walaupun belum bersedia untuk 2023, PERODUA akan memperkenalkan EV hibrid pertamanya pada 2024 dan PROTON dijangka melancarkan EV pertamanya pada 2027," katanya dalam satu nota penyelidikan, psfs 28 Disember 2022.

Khai Xhiang berkata, kemunculan positif EV ini adalah disebabkan kekangan rantai bekalan bukan lagi isu utama dalam industri automotif kerana kekurangan cip automotif semakin reda di peringkat global.


Beliau berkata, pada peringkat domestik, kebanyakan pengeluar berjaya mendapatkan semikonduktor dan komponen yang diperlukan.


Perkara ini, katanya terbukti apabila jenama kereta kebangsaan menjana pengeluaran pada kapasiti hampir penuh dalam beberapa bulan ini dan tahap ini mungkin akan diteruskan dalam tempoh akan datang.


Katanya, ini kerana pengeluar ingin mengejar untuk memenuhi pesanan tanpa cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebelum hujung Mac 2023.


"Hanya Tan Chong Motor, Berma dan Sime Darby Motors sedang mengalami kekurangan bekalan. Dengan sekatan COVID-19 yang semakin longgar di China, kami berfikir sebarang kesesakan rantaian bekalan akan terus pulih," katanya.


Mengenai jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2023, Khai Xhiang berkata, jumlah TIV pada tahun depan mungkin menyusut kepada 600,000 daripada jangkaan 700,000 unit pada 2022.


Beliau berkata, anggaran penurunan 14 peratus itu adalah berdasarkan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan pada 2023 dan ketiadaan pengecualian SST.

Jumlah unjuran TIV pada 2023 itu mengambil kira jumlah yang besar pada suku pertama tahun depan ketika pengeluar berkejar untuk memenuhi pesanan pengecualian SST sebelum hujung Mac 2023.


"Sebagai rumusan, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meramalkan TIV 2022 sebanyak 630,000 unit manakala 2023 pada 636,000 unit.


"TIV untuk 11 bulan pertama 2022 kini sebanyak 642,000 unit," katanya.

0 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

תגובות


IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page