top of page

Peguam Kata Tidak Salah Rakam Tindakan Penguat Kuasa Di Tempat Awam

  • Writer:  MOHD EZLI  MASHUT
    MOHD EZLI MASHUT
  • 31 Jul 2021
  • 2 min membaca

CELIK UNDANG-UNDANG | Tindakan merakam perbuatan penguat kuasa atau individu di tempat awam tidak menjadi sebarang kesalahan kata peguam kanan


BH Online pada 15 Jun 2021/Selasa melaporkan Muhammad Hasif Hasan, berkata merakam kejadian hanya tidak boleh dilakukan jika terdapat arahan khusus seperti di dalam bilik bicara mahkamah atau dalam wad hospital.


Beliau berkata demikian kerana ada rakan meminta pandangannya mengenai kejadian penguat kuasa yang cuba merampas telefon bimbit selepas mengambil rakaman video dalam insiden peniaga menjual tanpa lesen.


"Saya sudah meneliti akta yang ada seperti Kanun Tatacara Jenayah dan setakat ini saya tidak menjumpai sebarang kesalahan atau tegahan merakamkan mana-mana tindakan yang dilakukan oleh penguat kuasa atau individu di tempat awam.
"Apa yang dinyatakan dalam undang-undang adalah pihak berkuasa boleh merampas telefon bimbit sekiranya mempercayai ia adalah harta curi atau harta yang bersalahan dengan undang undang," katanya di Facebook.

Muhammad Hasif berkata, sebagai contoh wartawan TV3 menerusi rancangan 999 boleh merakamkan operasi serbuan dan tangkapan oleh pihak berkuasa terhadap suspek dan disiarkan untuk tontonan umum.


Katanya, mungkin ketika rakaman, akan ada pihak yang tidak berpuas hati tetapi sekiranya undang-undang membenarkan maka tiada kesalahan dilakukan oleh perakam.


Sebelum ini, polis menjalankan siasatan berhubung video tular menyaksikan pergelutan di antara seorang penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) Pasir Mas dan peniaga nasi dalam kejadian bersebelahan Bank Islam, pagi 14 Jun 2021.


Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata pihaknya juga sedang mengesan peniaga berkenaan untuk siasatan lanjut.


Katanya, setakat ini, polis sudah menerima satu laporan polis daripada seorang penolong pegawai penguat kuasa PBT berusia 33 tahun pada 14 Jun 2021, susulan videonya merebut telefon peniaga ketika menjalankan tugas, tular di media sosial.


Pada 14 Jun 2021/Isnin, tular video berdurasi selama 45 saat menyaksikan seorang penguatkuasa merampas telefon bimbit peniaga nasi kerana lelaki berkenaan merakam perbuatan penguat kuasa yang mengambil tindakan dengan merampas peralatan peniaga itu.



Comments


IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page