
Objek besar terdampar di Pantai Geting, Tumpat pada pagi 6 Disember 2021/Isnin lalu adalah sejenis alat bantuan pelayaran yang dikenali sebagai pelampung pandu atau boya, kata Jabatan Laut Malaysia (JLM),
Jabatan itu dalam kenyataan media pada 9 Disember 2021/Khamis memaklumkan alat itu berfungsi sebagai penunjuk arah selamat di alur pelayaran yang menjadi panduan navigasi kapal, bot dan lain-lain pengguna pengangkutan air.
Katanya boya milik JLM terbabit ditempatkan di muara Sungai Kelantan di Kuala Besar, Kota Bharu dan hanyut akibat ombak kuat dan air pasang besar baru-baru ini.
"Satu laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat berikutan kejadian ini dan kerja pemindahan boya sudah selesai dibuat petang 8 Disember 2021/Rabu.
"Boya itu kini ditempatkan sementara di jeti Pejabat Laut Kuala Besar," katanya.
Kenyataan itu merujuk berita tular sejak 6 Disember 2021/ Isnin mengenai penemuan objek asing itu yang kemudian menimbulkan pelbagai spekulasi.
Malahan ada individu menganggapnya piring terbang serta dikaitkan dengan makhluk asing.

Tangkap layar laporan di laman sesawang MyMetro
Berikutan itu, ramai datang ke lokasi terbabit dan merakamkan gambar kenangan, malah tidak kurang juga memanjat boya berkenaan yang jelas boleh mengundang bahaya.
Sehubungan itu, Pejabat Laut Kuala Besar, Kota Bharu membuat siasatan dan pemantauan bagi mengelakkan orang ramai menghampiri kawasan sekitar.
JLM juga kesal dengan tindakan orang ramai yang mendekati boya terbabit termasuk memanjat alat bantuan pelayaran setinggi 5.3 meter itu.
"Boya itu diperbuat daripada bahan jenis keluli dan dikhuatiri boleh mengakibatkan kecederaan sekiranya kemalangan seperti terjatuh atau tergelincir disebabkan licin semasa menceroboh.
Tambahan pula, alat ini aset kerajaan dan menjadi satu kesalahan jika ada individu menceroboh atau mendekatinya," katanya.

Comments