top of page

Matahari Terbit Dari Utara? Ini Penjelasan Agensi Angkasa

  • Writer:  MOHD EZLI  MASHUT
    MOHD EZLI MASHUT
  • 19 Jun 2022
  • 2 min membaca

Sumber Foto: Unsplash


ANGKASA | Artikel disiarkan laman sesawang wiser.my pada 17 Jun 2022 mendakwa '𝐌𝐚𝐭𝐚𝐡𝐚𝐫𝐢 𝐌𝐮𝐧𝐠𝐤𝐢𝐧 𝐓𝐞𝐫𝐛𝐢𝐭 𝐃𝐚𝐫𝐢 𝐔𝐭𝐚𝐫𝐚 𝐌𝐢𝐧𝐠𝐠𝐮 𝐇𝐚𝐝𝐚𝐩𝐚𝐧' adalah mengelirukan dan sebenarnya tidak tepat, tegas Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

Agensi itu pada kenyataan media di Facebook pada 19 Jun 2022 menjelaskan kedudukan terbit dan terbenam Matahari memang berubah-ubah dan tidak tetap pada satu tempat yang sama sahaja sepanjang tahun.


Katanya perubahan kedudukan Matahari berlaku disebabkan kecondongan paksi putaran Bumi sebanyak 23.5 darjah berbanding satah orbit Bumi mengelilingi Matahari.


MYSA menjelaskan Pada 21 Jun 2022, Matahari berada pada kedudukan paling jauh ke utara dari Khatulistiwa iaitu di atas Garisan Sartan (23.5º Utara) pada jam 17:13 waktu Malaysia.


"𝐌𝐚𝐭𝐚𝐡𝐚𝐫𝐢 𝐛𝐞𝐫𝐚𝐝𝐚 𝐝𝐢 𝐆𝐚𝐫𝐢𝐬𝐚𝐧 𝐒𝐚𝐫𝐭𝐚𝐧 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐛𝐞𝐫𝐦𝐚𝐤𝐬𝐮𝐝 𝐌𝐚𝐭𝐚𝐡𝐚𝐫𝐢 𝐭𝐞𝐫𝐛𝐢𝐭 𝐝𝐚𝐫𝐢 𝐚𝐫𝐚𝐡 𝐮𝐭𝐚𝐫𝐚, 𝐭𝐞𝐭𝐚𝐩𝐢 “𝐛𝐞𝐫𝐚𝐝𝐚 𝐝𝐢 𝐤𝐞𝐝𝐮𝐝𝐮𝐤𝐚𝐧 𝟐𝟑.𝟓º 𝐔𝐭𝐚𝐫𝐚 𝐝𝐚𝐫𝐢 𝐆𝐚𝐫𝐢𝐬𝐚𝐧 𝐊𝐡𝐚𝐭𝐮𝐥𝐢𝐬𝐭𝐢𝐰𝐚”.


"Struktur Bumi dibahagikan kepada Hemisfera Utara dan Hemisfera Selatan yang dibatasi oleh Garisan Khatulistiwa.


"Garisan Khatulistiwa (0°) merupakan latitud yang terpanjang dan dilukis mengelilingi bahagian tengah Bumi," kata MYSA.


Garisan Sartan di Hemisfera Utara berada di latitud 23.5º Utara dari Garisan Khatulistiwa manakala Garisan Jadi berada di latitud 23.5º Selatan dari Garisan Khatulistiwa seperti yang ditunjukkan pada Rajah 1.


MYSA berkata semasa Solstis Jun ini, ia menandakan bermulanya musim panas di Hemisfera Utara dan bermulanya musim sejuk di Hemisfera Selatan.

"Waktu siang menjadi lebih panjang dan waktu malam menjadi lebih pendek di Hemisfera Utara sementara waktu siang menjadi lebih pendek dan waktu malam menjadi lebih panjang di Hemisfera Selatan.


"Ketika Ekuinoks Mac dan September pula, Matahari berada tepat di atas Khatulistiwa dan akan terbit tepat di timur dan terbenam tepat di barat," kata MYSA.


Agensi itu tutut menjelaskan ketika ekuinoks Mac, ia menandakan bermulanya musim bunga di hemisfera utara dan bermulanya musim luruh di hemisfera selatan manakala ketika Ekuinoks September, ia menandakan bermulanya musim luruh di hemisfera utara dan bermulanya musim bunga di hemisfera selatan.


Katanya ketika Solstis pada 22 Disember jam 5.48 waktu Malaysia, Matahari berada di kedudukan paling jauh ke selatan dari Khatulistiwa iaitu di atas Garisan Jadi (23.5o Selatan).


"Ia menandakan bermulanya musim sejuk di hemisfera utara dan bermulanya musim panas di hemisfera selatan," katanya.


Rajah 1 dan 2 menunjukkan kedudukan Matahari pada waktu tengah hari yang berubah-ubah seiring dengan perubahan musim.

Sumber Grafik : MYSA


Comments


IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page