top of page

Malaysia catat kadar obesiti tertinggi, Brunei kedua di Asia Tenggara

Writer's picture:  MOHD EZLI  MASHUT MOHD EZLI MASHUT


GLOBAL | Brunei merekodkan angka penduduk obes kedua tertinggi di Asia Tenggara iaitu 14.1 peratus, dengan purata indeks jisim tubuh (BMI) 27 kilogram meter padu berdasarkan Penilaian Penduduk Dunia 2023.

Bagaimanapun, jumlah rakyat yang obes di negara itu masih tidak terlalu tinggi jika dibandingkan dengan negara lain di Eropah dan Amerika Utara, selain Malaysia berada di kedudukan tertinggi dengan 15.6 peratus.


Kadar obesiti di Brunei didapati meningkat akibat beberapa faktor seperti perubahan dalam diet dan gaya hidup, selain peningkatan jumlah pekerjaan yang memerlukan individu duduk dengan lama.


Susulan itu, kerajaan Brunei melaksanakan beberapa langkah bagi mengatasi isu berkenaan, antaranya mempromosikan amalan pemakanan sihat dan aktiviti fizikal.


Laporan Penilaian Penduduk Dunia 2023 itu turut menyatakan obesiti menjadi kebimbangan global berikutan jumlah individu yang obes meningkat tiga kali ganda sejak 1975 kepada kira-kira 2.1 bilion, atau 30 peratus daripada penduduk dunia dan ia dijangka terus meningkat.


Analisis Atlas Obesiti Dunia 2023 oleh Persekutuan Obesiti Dunia pula menunjukkan jumlah individu dewasa yang obes di Brunei dijangka meningkat pada purata 4.2 peratus setahun antara 2020 hingga 2035, manakala obesiti dalam kalangan kanak-kanak diunjur meningkat 4.4 peratus setiap tahun bagi tempoh sama.



Jumlah penduduk yang memiliki berat badan berlebihan dan kadar obesiti tinggi juga dijangka memberi kesan pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Brunei sebanyak 2.2 peratus.


Obesiti adalah antara punca utama kes kematian yang boleh dielakkan, selain ia mengurangkan kualiti kehidupan seseorang individu dan jangka hayat secara dramatik.


Ini kerana ia meningkatkan risiko diabetes, penyakit jantung, kanser tertentu, osteoartritis, apnea tidur, penyakit buah pinggang, strok dan tekanan darah tinggi.


Wanita mengandung yang obes pula berisiko berdepan dengan pelbagai komplikasi yang boleh menyebabkan masalah kesihatan pada ibu atau anak.


Sumber - AGENSI/23 Julai 2023

0 lihatan0 komen

Comments


IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page