![](https://static.wixstatic.com/media/f6aa5b_905a9a661c834ced8a4c9e619df505c8~mv2.jpg/v1/fill/w_960,h_960,al_c,q_85,enc_avif,quality_auto/f6aa5b_905a9a661c834ced8a4c9e619df505c8~mv2.jpg)
Sumber Grafik: FACEBOOK LEGOLAND
Legoland Malaysia Resort optimis dengan masa depan aktiviti pelancongan negara yang kembali pulih selepas terjejas akibat COVID-19, terutama apabila perjalanan merentas negeri dibenarkan semula.
Pengarah Bahagian, CS Lim, berkata pembukaan semula tarikan Legoland bermakna kepada perniagaan dan pekerjanya, namun begitu, keselamatan tetap menjadi keutamaan, lapor BERNAMA pada 27 Oktober 2021/Rabu.
"Sambutan yang kami terima daripada orang ramai amat menggalakkan walaupun kapasiti terhad. Kami melihat sokongan menyeluruh daripada rakyat Malaysia, seperti pemegang pas tahunan, pelawat, kerajaan dan rakan kongsi.
"Sebahagian daripada tindak balas positif ini boleh dikaitkan dengan cara Legoland menyesuaikan diri dengan norma baharu industri pelancongan," katanya kepada Bernama
Pengendali taman tema itu mengumumkan pembukaan semula secara penuh bermula 14 Oktober lalu dengan taman air mulai 27 Oktober serta hotel dan SEA Life Malaysia.
"Tetamu boleh menjangkakan beberapa peraturan di Legoland Malaysia Resort akan sedikit berbeza, dengan prosedur operasi standard (SOP) dipertingkatkan untuk memastikan resort itu mematuhi standard keselamatan tertinggi tanpa menjejaskan pengalaman bermain dan pembelajaran," jelas Lim.
Syarikat itu juga akan melaksanakan penutupan penyelenggaraan mingguan (satu hari) untuk Taman Tema dan Taman Air Legoland, justeru, tetamu disaran menyemak hari operasi melalui laman web Legoland Malaysia Resort sebelum merancang perjalanan masing-masing.
Dalam pada itu, Lim berkata untuk memastikan tetamu teruja untuk melawat Legoland dalam beberapa minggu akan datang, pakej pelancongan baharu serta lanjutan tempoh sah pas tahunan disediakan.
"Selain daripada persiapan kesihatan dan keselamatan, tetamu akan dapat merasai tarikan baharu kami, Planet Legoland. Ia adalah pengalaman membina yang mengasyikkan yang menggalakkan kanak-kanak dan ibu bapa mereka untuk melepaskan imaginasi dengan membina, merungkai serta membina semula dunia impian, menggunakan blok Lego," tambah beliau.
Melangkah ke hadapan, Lim berkata syarikat bercadang memperkenalkan cara yang inovatif dan lebih banyak perkongsian bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Legoland, menggiatkan semula pelancongan di Johor sambil meningkatkan keyakinan untuk perjalanan domestik dalam kalangan rakyat Malaysia.
Comments