
Foto Sumber: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
SEKINCHAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah kapal tangki yang berdaftar di Norway kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Sekinchan, pada 21 Ogos 2021/Sabtu.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor berkata kapal tangki dikatakan dalam perjalanan dari Singapura dan ditahan pada kedudukan 27.8 batu nautika barat daya Sekinchan, jam 1 tengah hari.
Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata kapal itu ditahan susulan pengesanan visual melalui Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) dan disalurkan kepada bot peronda Maritim yang sedang melakukan rondaan Op Benteng Laut dan Op Ehsan.
Pemeriksaan mendapati nakhoda kapal berkenaan gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh.
Beliau menjelaskan kapal itu membawa 20 kru termasuk nakhoda berusia di antara 28 hingga 58 tahun. Mereka terdiri daripada warga Norway, Rusia, Latvia dan Filipina serta mempunyai dokumen diri yang sah.
"Siasatan lanjut mendapati kapal itu singgah berlabuh di perairan Malaysia bagi menunggu arahan tugas seterusnya dari pihak syarikat yang berpangkalan di Norway," katanya dalam kenyataan media pada 22 Ogos 2021/Ahad.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran. Sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Perintah penahanan dikeluarkan di kapal dan dua anggota kru dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata APMM memandang serius pematuhan undang-undang dan tindakan yang diperlukan akan diambil untuk menjaga ketenteraman di perairan negara.
“Pengendali perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon izin berlabuh dari Jabatan Laut Malaysia sebelum berlabuh dan mengikuti peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia," jelas beliau.
Beliau berkata sebarang aduan atau maklumat mengenai sebarang kegiatan dan kecemasan maritim di laut dapat disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 yang beroperasi 24 jam, atau talian kecemasan MERS 999, sehingga tindakan segera dapat diambil oleh APMM.
Comments