
Gambar Hiasan: Sumber Foto: Unsplash
DRON | Seorang pengawal keselamatan disiasat selepas disyaki menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, pada 31 Ogos 2022/Rabu.
Agensi Berita BERNAMA pada 31 Ogos 2022 melaporkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi berkata keterangan daripada lelaki berusia 50 tahun itu diambil selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 1.54 tengah hari.
"Sebelum itu, Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menurunkan satu dron secara 'force landing' iaitu balik ke tempat asal dron itu dinaikkan di tepi jalan berhampiran sebuah restoran di Bulatan Dato Onn, pada jam 9.30 pagi.
"Keterangan daripada lelaki itu sudah diambil dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)," kata Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya.
Noor Dellhan berkata, laporan itu diklasifikasikan sebagai merujuk kepada agensi lain (ROA) iaitu pihak CAAM untuk siasatan mengikut Peraturan 143 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Sebelum ini, CAAM menasihatkan orang ramai untuk tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini membabitkan keselamatan orang awam serta mengundang risiko kemalangan terhadap pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menjalankan penerbangan formasi rendah pada sambutan itu.
Pada 29 Ogos 2022, CAAM) menerusi Facebook mengingatkan semua pengendalian aktiviti dron tertakluk mengikut Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3), Peraturan 98, 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia (MCAR 2016) dan Arahan Penerbangan Awam Civil Aviation Directives (CADs).
Jelasnya bagi kesalahan mengikut Seksyen 4 Akta 3, memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
"Bagi Peraturan 206(3) MCAR 2016, jika orang itu ialah seorang individu, didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau jika orang itu ialah satu pertubuhan perbadanan akan didenda tidak melebihi RM100,000," kata CAAM.
Comments