![](https://static.wixstatic.com/media/nsplsh_47726d77566e5653536455~mv2_d_3626_2479_s_4_2.jpg/v1/fill/w_980,h_670,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/nsplsh_47726d77566e5653536455~mv2_d_3626_2479_s_4_2.jpg)
EKONOMI | Kenaikan harga minyak mentah Brent sejak kebelakangan ini boleh berterusan sehingga mencecah AS$150 satu tong menjelang 2026, demikian menurut JPMorgan.
Ketua Penyelidikan Ekuiti Tenaga Eropah, Asia Barat dan Afrika JPMorgan, Christyan Malek, berkata beberapa pemangkin kini terarah kepada amaran untuk harga minyak mentah mencecah AS$150 termasuk kejutan kapasiti dan usaha giat untuk mengalihkan dunia daripada bahan api fosil.
Harga minyak mentah melonjak sejak kebelakangan ini didorong oleh pemotongan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+), dipimpin terutamanya oleh Arab Saudi yang menarik keluar sejuta tong sehari daripada pasaran, diikuti oleh larangan eksport bahan api oleh Russia.
Permintaan minyak mentah yang meningkat ditambah dengan sekatan bekalan, melonjakkan harga komoditi itu dan menyumbang kepada kenaikan harga pengguna.
Harga hadapan minyak mentah Brent kini berada kira-kira AS$93, namun Malek menjangkakan harganya akan berada antara AS$90 dan AS$110 tahun depan, malah lebih tinggi pada 2025.
"Anda perlu bersedia dari sekarang. Ini akan menjadi 'super kitaran' yang amat tidak menentu," katanya dipetik sebagai berkata oleh Bloomberg seperti dilaporkan OilPrice.com, ketika penganalisis memberikan amaran mengenai pemotongan pengeluaran OPEC dan juga kurangnya pelaburan untuk pengeluaran minyak baharu.
JPMorgan pada Februari lalu berkata bahawa harga minyak tidak mungkin mencecah AS$100 satu tong tahun 2023 melainkan terdapat perkembangan geopolitik besar yang boleh menggoncang pasaran, sambil memberi amaran bahawa OPEC+ akan menambah sehingga 400,000 tong sehari ke dalam bekalan global, manakala eksport minyak Russia berpotensi pulih menjelang pertengahan tahun.
Pada masa itu, JPMorgan menganggarkan peningkatan permintaan sehingga 770,000 tong sehari dari China, kurang daripada anggaran diberikan oleh OPEC dan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).
JPMorgan kini melihat lebihan bekalan dan permintaan global sebanyak 1.1 juta tong sehari pada 2025, namun meningkat kepada defisit 7.1 juta tong sehari menjelang 2030 apabila permintaan tinggi terus menyelubungi bekalan yang terhad.
Komen