top of page

Harga Minyak Cecah AS$110 Setong, Gandum Tertinggi Dalam 14 Tahun

Writer's picture:  MOHD EZLI  MASHUT MOHD EZLI MASHUT



GLOBAL | Harga minyak melepasi AS$110 setong dan pasaran saham menjunam apabila pelabur semakin bimbang dengan kesan perang Ukraine terhadap bekalan tenaga global dan pemulihan ekonomi, lapor AFP pada 2 Mac 2022/Rabu.

Pencerobohan Vladimir Putin ke atas negara jirannya itu menyebabkan pasaran global bergolak sepanjang minggu lalu, meningkatkan kebimbangan inflasi lebih tinggi dan dasar monetari bank pusat yang lebih ketat.


Krisis itu menyaksikan beberapa negara mengenakan pelbagai sekatan terhadap Moscow yang memencilkan Russia dan mengancam akan menjejaskan ekonominya.


Tindakan itu menyebabkan ketidaktentuan yang ketara dalam pasaran dengan bekalan komoditi penting termasuk logam dan bijirin terkesan.


Harga gandum berada pada paras tertinggi dalam tempoh 14 tahun, apabila meningkat 30 peratus dalam tempoh sebulan lalu.

Namun, sumber utama kebimbangan pelabur adalah minyak mentah, yang naik mendadak sejak Russia mula bersedia untuk melakukan pencerobohan.


Harga minyak Brent mencecah AS$110 buat kali pertama sejak 2014, manakala West Texas Intermediate (WTI) bergerak menghampiri angka itu.


Sekatan yang akan datang mencetuskan kebimbangan bahawa eksport akan disekat dari Russia, pengeluar minyak ketiga terbesar dunia.


Konflik di Eropah Timur itu berlaku ketika harga minyak sudah sedia melonjak berikutan bekalan yang sempit dan pemulihan kukuh permintaan global apabila ekonomi mula dibuka semula daripada penutupan akibat pandemik.

Pedagang akan memerhati dengan penuh minat mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar utama lain, termasuk Russia, yang akan membincangkan sama ada untuk menaikkan ouput bagi membendung kenaikan harga yang menyebabkan inflasi melonjak.


Dalam ucapan pada State of the Union, Presiden Joe Biden berkata, Amerika Syarikat (AS) akan menyertai perjanjian 30 negara untuk mengeluarkan 60 juta tong bagi membendung kenaikan harga minyak.


Namun, penganalisis memberi amaran langkah sedemikian hanya memberikan impak yang kecil.


Harga minyak menambah kebimbangan mengenai inflasi yang berada pada paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun di AS dan menjejaskan kewangan rakyat negara itu walaupun ekonomi sedang meningkat semula daripada kejutan pandemik.


Namun, krisis Ukraine memberikan satu lagi masalah kepada Rizab Persekutuan (Fed) yang terpaksa memikirkan semula rancangannya untuk menaikkan kadar faedah bagi membolehkan harga pengguna terkawal.


Bank pusat itu dijangka menaikkan kadar faedah bulan ini dan tujuh kali lagi sebelum akhir tahun.


Bagaimanapun, pemerhati berkata ia dijangka membuat keputusan lebih berhati-hati kerana bimbang langkah itu boleh menjejaskan pemulihan.

0 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page