top of page

Eropah Alami Cuaca 'Panas Melampau' Ketika Musim Sejuk, Salji Cair

Writer's picture:  MOHD EZLI  MASHUT MOHD EZLI MASHUT

Tapak luncur salji di yang turut menjadi lokasi pertandingan luncur salji Piala Dunia di Adelboden, Switzerland, dilihat ketandusan salji akibat cuaca panas melampau walaupun kini adalah musim sejuk. - Foto AP


GLOBAL | PARIS: Eropah menyaksikan cuaca 'panas melampau' ketika musim sejuk sejak beberapa hari kebelakangan ini, di mana bulan Januari 2023 sudah mencatatkan suhu panas mencecah rekod di seluruh rantau ini.

Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 7 Januari 2023 melaporkan saintis berkata, apabila suhu meningkat di seluruh dunia kerana perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia, gelombang haba dan cuaca yang lebih panas berbanding kelaziman menjadi lebih biasa sepanjang tahun.


Selepas mengalami panas musim panas melampau dan kemarau yang tidak pernah berlaku sebelum ini, gelombang cuaca panas di seluruh Eropah pada musim sejuk ini dilihat mencairkan salji dari cerun luncur salji di Alps dan Pyrenees serta menyaksikan suhu melebihi 20 darjah Celsius walaupun di kawasan yang sepatutnya membeku.


Menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), beberapa negara Eropah menyaksikan kepanasan yang memecahkan rekod menjelang Tahun Baru dan beratus-ratus stesen cuaca di seluruh Eropah merekodkan suhu harian tertinggi sepanjang masa untuk bulan Disember atau Januari.



Saintis Kanan di Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Eropah (C3S), Freja Vamborg, berkata gelombang haba musim sejuk adalah peristiwa haba 'melampau' di Eropah dan sejauh mana suhu sudah berubah perlu dilihat daripada apa yang dijangkakan pada tahun 2023.


"Pada 1 Januari 2023, terdapat aliran udara yang kuat dari barat daya merentasi kawasan terjejas, yang akan membawa udara lebih panas ke utara dan menembusi luar biasa jauh ke timur, sehingga ke Belarus.

Kadar salji yang minimum mungkin menjadi satu lagi faktor yang berkaitan.


"Dengan peningkatan suhu global, gelombang panas dan musim panas menjadi lebih kerap lagi teruk, ini tidak terhad kepada bulan-bulan musim panas.


"Walaupun trend pemanasan di Eropah secara purata lebih meningkat pada musim panas, musim sejuk juga menjadi lebih panas akibat suhu global.


"Eropah Utara sudah menjadi panas dengan lebih cepat pada musim sejuk berbanding musim panas, manakala di selatan, trend pemanasan lebih jelas pada musim panas," katanya.


Katanya, walaupun kurang keperluan untuk pemanasan perumahan dan infrastruktur lain, kadar salji yang rendah menjejaskan industri pelancongan musim sejuk.


"Kemungkinan kesan ke atas ekosistem semula jadi, termasuk kebangkitan awal haiwan daripada hibernasi atau tidur panjang ketika musim sejuk, yang mungkin memberi kesan negatif jika diikuti dengan keadaan yang kurang beku.


"Kesan keseluruhan akan berbeza, bergantung pada berapa lama cuaca sejuk atau panas berterusan dan tahap suhu yang dicatat," katanya.

0 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page