top of page

Cuaca kering di Indonesia, kawasan titik panas tambah 2 kali ganda

Writer's picture:  MOHD EZLI  MASHUT MOHD EZLI MASHUT



GLOBAL | JAKARTA: Bilangan kawasan berpotensi dilanda kebakaran hutan, dikesan bertambah dua kali ganda sepanjang minggu lalu berikutan cuaca kering, kata pihak berkuasa, pada 24 Julai 2023.

Ia sekali gus meningkatkan kebimbangan akan risiko kebakaran hutan boleh berlaku secara meluas dan api marak dengan pantas, sebelum negara ini mengalami kemuncak musim kering, lapor REUTERS.


Bilangan titik panas direkodkan antara 17 Julai hingga 23 Julai 2023 meningkat kepada 12,701 berbanding 6,082 pada minggu sebelum itu, menurut data Agensi Mitigasi Bencana Indonesia (BNPB).


Jurucakap BNPB, Abdul Muhari, berkata kebanyakan pertambahan kawasan titik panas itu dikesan di Kalimantan, Jawa dan Papua.


"Walaupun bukan semua titik panas dikesan itu akan menjadi lokasi kebakaran, kita tetap perlu berjaga-jaga berdasarkan peningkatan ketara yang dilihat ini," katanya pada taklimat secara maya.


Ketika itu, beliau menjelaskan Indonesia belum sampai kemuncak musim kering yang dijangka antara Ogos hingga awal September depan.


Menurut ramalan agensi cuaca Indonesia, negara ini dijangka mengalami musim kering paling teruk pada tahun 2023 sejak 2019, sebahagiannya didorong faktor cuaca El Nino.


Sebagai langkah berwaspada, Abdul mengingatkan orang ramai supaya tidak membiarkan api tanpa pengawasan, selain melaporkan segera jika berlaku penurunan ketara paras air di kawasan tanah gambut.


Di samping itu, beliau berkata, pihak berkuasa juga menjalankan rondaan udara di enam wilayah yang diberikan keutamaan.


Untuk rekod, Indonesia pernah mengalami kebakaran hutan yang dahsyat pada 2015 dan 2019 sehingga mengakibatkan jerebu menyelubungi republik ini serta sebahagian negara Asia Tenggara lain.


Menurut data Bank Dunia, kebakaran pada 2019 menyebabkan kerugian ekonomi kira-kira AS$5.2 bilion di lapan wilayah negara ini.


Sumber - REUTERS

0 lihatan0 komen

Comments


IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page