
PERUBATAN | Tempoh pemulihan pesakit COVID-19 yang memerlukan rawatan pernafasan tidak invasif atau oksigen aliran tinggi, dapat dipendekkan lapan hari apabila menggunakan ubat antiviral baricitinib bersama remdesivir.
BH Online pada 25 Julai 2021/ Ahad melaporkan pakar farmasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Farida Hanim Islahudin, berkata kajian klinikal penggunaan ubat itu mendapati pesakit pulih dalam tempoh 10 hari, berbanding 18 hari bagi pesakit yang diberi remdesivir sahaja.
Sehubungan itu, katanya, penggunaan baricitinib bersama remdesivir bakal memendekkan tempoh pesakit dirawat di hospital, sekali gus dapat meringankan beban ditanggung sistem kesihatan awam akibat peningkatan jumlah pesakit COVID-19 ketika ini.
"Kajian klinikal penggunaan baricitinib terhadap 1,033 pesakit COVID-19 menunjukkan peningkatan 30 peratus dari segi pemulihan gejala klinikal menjelang hari ke-15.
"Analisis tahap keparahan pesakit pula mendapati mereka yang memerlukan rawatan pernafasan tidak invasif atau oksigen aliran tinggi, pulih dalam 10 hari selepas diberi baricitinib bersama remdesivir, berbanding 18 hari bagi yang menerima remdesivir sahaja.
"Bagaimanapun, ia bergantung kepada beberapa faktor seperti usia pesakit, komorbiditi serta sama ada pesakit sudah divaksin atau tidak," katanya ketika dihubungi BH pada 25 Julai 2021.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tahap keberkesanan penggunaan ubat baricitinib bagi merawat pesakit COVID-19.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, semua hospital sudah diarah menggunakan ubat baricitinib bagi merawat pesakit COVID-19 untuk merawat dan mencegah mereka daripada beralih kepada kategori yang lebih teruk.
Pemberian ubat dengan dos antara dua hingga empat miligram itu dikatakan mampu mengekang risiko pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2, menjadi kategori 3 hingga 5.
Pesakit kategori 1 ialah mereka yang positif tetapi tidak bergejala dan kategori 2 merujuk kepada individu bergejala ringan, manakala kategori 3 ialah tahap radang paru-paru mula dialami pesakit tetapi tidak memerlukan oksigen berbeza dengan kategori 4, manakala kategori 5 ialah individu yang memerlukan bantuan pernafasan.
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah pula dilaporkan berkata, sejumlah RM38 juta akan dibelanjakan untuk perolehan ubat-ubatan bagi merawat pesakit COVID-19, khususnya baricitinib.
Walaupun penggunaan baricitinib menunjukkan hasil memberangsangkan, Farida Hanim mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli dan menggunakannya secara sendiri.
"Penggunaan baricitinib tertakluk kepada keadaan pesakit, khususnya fungsi organ mereka bagi menentukan dos yang sesuai kepada pesakit dan hanya boleh digunakan dengan pemantauan rapi hospital.
"Doktor perlu memantau kerana ada kemungkinan kesan sampingan, antaranya loya yang boleh menyebabkan muntah, selain keadaan yang jarang berlaku iaitu berisiko memberi kesan pada hati," katanya.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, yakin penggunaan baricitinib dapat menyelamatkan pesakit COVID-19 di peringkat awal.
Bagaimanapun, beliau membangkitkan sedikit kebimbangan berikutan harga ubat itu yang agak mahal.
"Berdasarkan maklumat, 28 tablet baricitinib dua miligram bernilai lebih 1,300 euro (RM6,470) dan saya tak pasti berapa harganya di Malaysia.
"Namun, kajian klinikal penggunaan ubat ini memang menunjukkan hasil memberangsangkan dan diyakini dapat menyelamatkan pesakit COVID-19 di peringkat awal," katanya.
SUMBER: BH ONLINE/ 25 JULAI 2021
Comments