![](https://static.wixstatic.com/media/nsplsh_0f3ac44b53c5423db829cf498153b6a9~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_560,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/nsplsh_0f3ac44b53c5423db829cf498153b6a9~mv2.jpg)
Sumber Foto: Unsplash
GLOBAL | EKONOMI | Bank Dunia memberi amaran dunia mungkin terjerumus ke dalam kemelesetan pada 2023 ketika bank-bank pusat di seluruh global secara serentak menaikkan kadar faedah untuk bertindak balas terhadap inflasi.
Agensi Berita Antarabangsa Xinhua pada 16 September 2022 melaporkan bank-bank pusat di seluruh dunia menaikkan kadar faedah tahun 2022 pada tahap yang tidak pernah disaksikan sejak lima dekad lalu, trend yang berkemungkinan berterusan sehingga tahun 2023, kata Bank Dunia dalam satu kajian terbaharu.
Bagaimanapun, trajektori kenaikan kadar faedah dan tindakan dasar lain mungkin tidak mencukupi untuk menurunkan inflasi global ke paras yang dilihat sebelum pandemik, demikian menurut kajian berkenaan.
Pelabur menjangkakan bank-bank pusat menaikkan kadar dasar monetari kepada hampir empat peratus sepanjang 2023, peningkatan sebanyak dua mata peratusan berbanding purata pada 2021, menurut kajian itu.
"Jika ini digabungkan dengan tekanan pasaran kewangan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan memperlahan kepada 0.5 peratus pada 2023, penguncupan sebanyak 0.4 peratus dari segi perkapita yang memenuhi definisi teknikal kemelesetan global," lapor kajian itu.
![](https://static.wixstatic.com/media/nsplsh_74d3b83bbb5d4b0494796059383841ed~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_653,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/nsplsh_74d3b83bbb5d4b0494796059383841ed~mv2.jpg)
Pemangku Naib Presiden Pertumbuhan Saksama, Kewangan dan Institusi Bank Dunia berkata kenaikan kadar faedah berlaku begitu serentak di beberapa negara, sekali gus menyempitkan persekitaran kewangan dan memperdalamkan lagi kelembapan pertumbuhan global.
"Pembuat dasar di pasaran sedang pesat membangun dan ekonomi sedang membangun perlu bersedia menguruskan potensi kesan daripada pengetatan dasar secara serentak di seluruh dunia," kata Ayhan Kose.
Krisis kewangan di pasaran sedang pesat membangun dan ekonomi sedang membangun akan memberikan impak yang panjang, menurut kajian berkenaan.
"Kebimbangan utama saya adalah trend ini akan berkekalan, dengan kesan berpanjangan yang buruk kepada penduduk di pasaran sedang pesat membangun dan ekonomi sedang membangun," kata Presiden Bank Dunia, David Malpass.
"Bagi mencapai kadar inflasi rendah, kestabilan mata wang dan pertumbuhan lebih pantas, pembuat dasar perlu mengalihkan tumpuan daripada mengurangkan penggunaan kepada meningkatkan pengeluaran.
"Dasar-dasar perlu melihat untuk menjana pelaburan tambahan selain meningkatkan produktiviti dan peruntukan modal, yang penting bagi pertumbuhan serta mengurangkan kemiskinan," kata Malpass.
Comments