
Sumber Foto : JBPM Selangor
Pekan Tanjong Karang dilaporkan dinaiki air sedalam satu meter susulan insiden ban pecah sekitar jam 4 pagi 6 November 2022/ Ahad.
Sebelum ini kejadian ban pecah pernah berlaku pada 11 Oktober 2022/ Ahad. Difahamkan ia adalah kejadian kali ketiga mutakhir kini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam kenyataan media pada 6 November 2022/Ahad berkata sebuah jentera bersama anggota dan bot dari Balai Bomba Tanjong Karang dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 4.07 pagi.
"Dilaporkan berlaku ban pecah di kawasan Pekan Tanjong Karang dan berlaku limpahan air sungai ke kawasan sekitar pada kedalaman 0.5 meter.
"Limpahan air tidak melibatkan rumah penduduk setakat ini dan tiada pemindahan dilakukan.
"Bagaimanapun bomba membuat pemantauan dan bersedia di lokasi," kata Norazam Khamis dalam kenyataan pada Ahad.
Norazam berkata, pada jam 5.24 pagi air dilaporkan semakin naik hingga ke paras 1 meter di sekitar kawasan pasar Tanjong Karang.
Katanya, pasukan penyelamat memindahkan seorang warga emas berusia 70 tahun ke rumah jiran berdekatan susulan rumah wanita itu dinaiki air.
"Pada jam 5.45 pagi, ketua operasi melaporkan telah memindahkan sebuah keluarga berusia lingkungan empat hingga 70 tahun ke rumah jiran.
"Air mula menunjukkan trend menurun pada jam 6.30 pagi dan pihak bomba terus menjalankan pemantauan di kawasan sekitar," jelas beliau.
Susulan itu, beliau berkata, JBPM Selangor melakukan dua pemindahan membabitkan tujuh sekeluarga termasuk seorang wanita warga emas berusia empat hingga 70 tahun.
"Mangsa terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita di mana semua mereka dipindahkan ke kawasan tidak dinaiki air iaitu Jalan Kilang Padi.
"Pada jam 6.13 pagi, didapati air mula menunjukkan trend penurunan. Bagaimanapun, bomba masih melakukan pemantauan di lokasi kejadian," katanya.
Norazam berkata, pihaknya percaya kemungkinan kejadian ban pecah itu berlaku buat kali ketiga.
Sehubungan itu, katanya, beliau menasihatkan penduduk supaya mengikut arahan pasukan penyelamat sekiranya diarahkan berpindah termasuk menutup sepenuhnya bekalan elektrik
"Selain itu, sentiasa awasi anak-anak terutamanya yang masih kecil supaya tidak bermain air banjir. Berwaspada dengan kehadiran haiwan berbisa seperti ular, lipan dan kala jengking," katanya.
Pada 11 Oktober 2022/Ahad lalu, media melaporkan kejadian ban pecah berlaku di dua lokasi sekitar Tanjong Karang.
Dua lokasi itu adalah Pekan Tanjong Karang dan Jalan Masjid Baroh.

Comentários