
GLOBAL | PERUBAHAN IKLIM | WASHINGTON: Ais laut di Antartika mencecah paras terendah pada musim sejuk, sekali gus mencetuskan kebimbangan penyelidik berhubung peningkatan kesan perubahan iklim di kawasan selatan.
Laporan itu dikeluarkan Pusat Data Salji dan Ais Kebangsaan (NSIDC) Amerika Syarikat (AS), pada 25 September 2023 dengan penyelidik memberi amaran peralihan terbabit boleh mendatangkan kesan buruk kepada haiwan seperti penguin selain mempercepatkan pemanasan global.
Saintis Kanan NSIDC, Walt Meier, berkata tahap pengurangan ais laut Antartika paling memuncak dikesan pada tahun ini, 10 September lalu, apabila ia hanya meliputi 16.96 juta kilometer persegi, iaitu musim sejuk terendah setakat ini, sejak rekod satelit bermula pada 1979.
"Jumlah itu adalah kira-kira satu juta kilometer persegi kurang, daripada rekod musim sejuk sebelumnya yang ditetapkan pada 1986.
"Keadaan itu bukan sahaja menyebabkan 2023 adalah tahun yang memecahkan rekod, namun ia berada pada tahap tertinggi pecah rekod," katanya, lapor REUTERS pada 26 September 2023.
Pada masa sama, menurut laporan NSID, angka yang dikeluarkan itu masih di peringkat awal dengan analisis penuh dijangka dikeluarkan bulan Oktober 2023.
Musim hemisfera Selatan adalah bertentangan, dengan ais laut biasanya memuncak sekitar September menjelang penghujung musim sejuk, sebelum mencair ke titik terendah pada Februari atau Mac apabila musim panas semakin hampir.
Tahap ais laut Antartika musim panas juga mencecah rekod terendah pada Februari 2023, memecahkan paras sebelumnya pada tahun lalu.
Kawasan artik dilanda perubahan iklim yang teruk sejak sedekad lalu, dengan ais laut semakin cepat merosot apabila kawasan utara mencatatkan suhu panas empat kali lebih cepat daripada purata global.
Walaupun perubahan iklim menyumbang kepada pencairan glasier di Antartika, namun masih kurang dikenal pasti berhubung suhu pemanasan itu yang berupaya memberi kesan kepada ais laut berhampiran kutub selatan. Tahap ais laut di sana dilaporkan meningkat antara 2007 hingga 2016 lalu.
Perubahan dalam beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan saintis bimbang perubahan iklim berisiko mengancam laut Antartika.
Mengulas mengenainya, Meier berkata, masih terlalu awal untuk merumuskan perkara itu walaupun artikel akademik terbitan awal bulan September 2023 dalam jurnal 'Communications Earth and Environment' menunjukkan perubahan iklim boleh menjadi faktor yang berpotensi.
Kajian itu mendapati bahawa suhu lautan yang memanas, terutamanya disebabkan pelepasan gas rumah hijau menyumbang kepada paras ais laut yang lebih rendah sejak 2016.
Sementara itu, penyelidik ais laut di Universiti Monash Australia, Ariaan Purich, berkata adalah penting untuk melindungi keadaan berkenaan atas beberapa sebab.
"Adalah sangat penting untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau," katanya juga menjadi pengarang bersama kajian itu.
Sumber - REUTERS/ 26 September 2023
Comentários