top of page

5 Bilion Penduduk Dunia Mungkin Hadapi Krisis Air Pada 2050 - PBB

Writer's picture:  MOHD EZLI  MASHUT MOHD EZLI MASHUT


Pemimpin dunia digesa merintis usaha sempena Persidangan Perubahan Iklim COP26 bagi mengelak lebih lima bilion penduduk berdepan kekangan mendapatkan bekalan air menjelang 2050.

Ketua Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata seramai 3.6 bilion penduduk berdepan masalah itu dalam tempoh sebulan setiap tahun, setakat 2018 lalu.


"Kita perlu bangkit daripada krisis air yang semakin membimbangkan ini," kata Petteri Taalas, laor Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 5 Oktober 2021/Selasa.


Laporan 'Keadaan Perkhidmatan Iklim 2021: Air' diterbitkan beberapa minggu sebelum COP26 atau Persidangan Perubahan Iklim PBB itu diadakan di Glasgow, dari 31 Oktober hingga 12 November 2021.


WMO menegaskan bahawa dalam tempoh 20 tahun lalu, paras air di atas tanah iaitu permukaan, separa permukaan, salji dan ais, susut pada kadar satu sentimeter setiap tahun.


Penyusutan terbesar berlaku di Antartika dan Greenland, namun kebanyakan lokasi yang mempunyai altitud rendah dan dipenuhi penduduk turut dilanda masalah sama.


Taalas berkata, isu keselamatan air bakal mengundang kesan besar memandangkan hanya 0.5 peratus daripada air di dunia boleh digunakan dan dalam bentuk semula jadi.


"Peningkatan suhu menyebabkan kadar penyejatan pada peringkat global dan serantau berubah, sekali gus menyaksikan corak hujan dan musim pertanian beralih.


"Maka, ia mencetuskan kesan kepada aspek keselamatan makanan, selain kesihatan dan kebajikan manusia.


"Kita mempunyai tambahan kelembapan sebanyak tujuh peratus di atmosfera disebabkan pemanasan global ketika ini dan ia menyumbang kepada banjir.


"Justeru, negara yang menghadiri COP26 perlu meningkatkan usaha mereka, dengan bukan sekadar giat mengadakan perbincangan tanpa disusuli dengan sebarang tindakan," katanya.


Bimbang dengan keadaan semasa, Taalas berkata usaha menangani perubahan iklim merangkumi segenap aspek tidak boleh dilengahkan sehingga beberapa dekad.


Katanya, mesej sedemikian antara lain ditujukan kepada negara seperti China yang menyatakan komitmen untuk menjadi neutral karbon menjelang 2060, namun tidak mempunyai sebarang perancangan utuh dalam tempoh beberapa dekad akan datang.


"Pengubahsuaian terhadap iklim juga perlu dilakukan kerana pola perubahan cuaca akan terus berlaku, susulan kecairan glasier dan peningkatan paras air laut.

0 lihatan0 komen

Comments


IMG_20221230_173627.jpg
bottom of page