top of page

Universiti Malaya Dahului Senarai 22 IPT Malaysia Dalam Kedudukan Universiti Global


Sumber Foto : Facebook Universiti Malaya

PENDIDIKAN TINGGI | Universiti Malaya (UM) mendahului 22 institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia yang disenaraikan dalam kedudukan universiti dunia tahun 2022 oleh Times Higher Education (THE).

Jumlah universiti negara yang tersenarai dalam ranking itu mencatat peningkatan tahun 2022 berbanding hanya 18 universiti awam dan swasta berada dalam kedudukan berkenaan tahun 2021.


Dalam senarai membabitkan 1,799 universiti dari 104 negara itu, UM berada pada kedudukan 351-400, sekali gus kekal pada kedudukan teratas dalam kalangan universiti Malaysia.


Bagaimanapun, kedudukan itu menyaksikan ranking UM jatuh sedikit berbanding tahun 2021, yang ketika itu berada pada kedudukan 301-350.



Sumber : Times Higher Education


Ia disusuli Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) di kedudukan 401-500.


Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula masing-masing di kedudukan 601-800.



Empat universiti disenaraikan di kedudukan 801-1,000 iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Sunway University dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), manakala Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di kedudukan 1,001-1,200.

Tujuh universiti negara berada dalam kelompok 1,201-1,500 iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Multimedia University (MMU), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).


Dua lagi universiti negara yang tersenarai dalam ranking universiti dunia THE adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), masing-masing di kedudukan 1,501+.


Ranking universiti dunia THE adalah penyenaraian universiti terbesar di dunia ketika ini, dengan mengambil kira 13 indikator bagi menilai prestasi universiti dalam empat bidang iaitu pengajaran, penyelidikan, pemindahan pengetahuan dan pandangan antarabangsa.


Penyenaraian tahun 2022 menganalisis 121 juta petikan daripada 15.5 juta penerbitan kajian, termasuk maklum balas kaji selidik daripada 40,000 ahli akademik seluruh dunia.

Kommentarer


bottom of page