top of page

Kepintaran Buatan Semakin Disalah Guna Penjenayah Siber




Kepintaran buatan (AI) membuka peluang kepada penjenayah siber teknologi melakukan klon suara, sekali gus menyaksikan keupayaan merobohkan sempadan antara realiti dan fiksyen.

Ketua Eksekutif Blackbird.AI, Wasim Khaled, berkata pengklonan suara AI kini hampir tidak dapat dibezakan daripada percakapan manusia, membolehkan penjenayah siber melakukan jenayah secara berleluasa, lapor agensi berita AFP pada 12 Jun 2023.


Ini berikutan carian internet yang mudah menghasilkan pelbagai aplikasi tersedia secara percuma untuk mencipta suara AI dengan mencuri sampel suara sebenar seseorang.


"Dengan sampel audio yang kecil, klon suara AI boleh digunakan untuk meninggalkan peti suara dan teks suara.


"Ia juga boleh digunakan sebagai penukar suara secara langsung pada panggilan telefon.


"Penipu boleh menggunakan dialek, jantina atau meniru corak pertuturan setiap orang yang mana teknologi membolehkan penciptaan palsu mendalam yang meyakinkan," katanya.


Menurut pakar juga, ini adalah bahaya terbesar dalam AI kerana keupayaannya untuk merobohkan sempadan antara realiti dan fiksyen, memberikan penjenayah siber teknologi yang murah dan berkesan untuk menyebarkan maklumat salah.


Profesor di UC Berkeley School of Information, Hany Farid, pula berkata memandangkan mudah untuk menjana klon suara yang sangat realistik, hampir sesiapa sahaja yang mempunyai sebarang kehadiran dalam talian terdedah kepada serangan.


Dalam tinjauan global terhadap 7,000 orang dari sembilan negara, termasuk Amerika Syarikat (AS), satu daripada empat orang berkata, mereka pernah mengalami penipuan pengklonan suara AI atau mengenali seseorang yang pernah mengalaminya.


Sementara 70 peratus daripada responden berkata, mereka tidak yakin boleh memberitahu perbezaan antara suara klon dan perkara sebenar, menurut tinjauan yang diterbitkan bulan lalu oleh McAfee Labs yang berpangkalan di AS.

Comments


bottom of page