top of page

Prestasi Cemerlang Industri Sawit Berterusan 2023, Purata RM3,800 Satu Tan


Sumber Foto : Mohd Ezli

KOMODITI | Prestasi lebih baik industri sawit Malaysia dijangka berterusan hingga 2023, demikian menurut Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Katanya, beberapa faktor mungkin dikaitkan dengan jangkaan prestasi yang lebih baik, terutamanya permintaan yang lebih kukuh untuk minyak sawit.


"Konflik Russia-Ukraine yang berterusan memberi impak rantaian bekalan minyak bunga matahari di seluruh dunia, menyebabkan lonjakan permintaan minyak sawit sebagai pengganti minyak bunga matahari.


"Kenaikan harga minyak kacang soya dan minyak mentah Brent di pasaran dunia juga adalah faktor penyumbang yang mungkin memberi kesan kepada prestasi minyak sawit kita.



"Oleh itu, kami menjangkakan harga purata minyak sawit mentah (MSM) pada RM5,100 satu tan untuk tahun ini, 15.7 peratus lebih tinggi berbanding RM4,407 satu tan pada 2021," katanya dalam kenyataan, pada 30 Disember 2022.


Harga purata MSM bagi Januari hingga November 2022 ialah RM5,167 satu tan, meningkat 18.4 peratus berbanding RM4,363 satu tan bagi tempoh yang sama pada 2021.


Ahmad Parveez berkata, harga MSM mengalami penurunan mulai suku ketiga tahun ini berikutan musim pengeluaran MSM yang tinggi, peningkatan stok minyak sawit dan penurunan harga minyak kacang soya.


"Justeru, kami menjangkakan harga MSM akan stabil pada purata RM3,800 satu tan pada 2023. Ini berdasarkan jangkaan pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi, keadaan cuaca yang dijangka bertambah baik terutamanya pada separuh kedua tahun depan dan ketersediaan bekalan minyak sayuran utama yang lain yang dijangka lebih tinggi.

"Sementara itu, harga minyak kacang soya yang dijangka rendah berikutan pengeluaran tinggi di Brazil dan Amerika Syarikat (AS) juga dijangka memberi impak kepada harga MSM. Selain itu, pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dijangka menjejaskan harga MSM," katanya.


Tambah beliau, ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pada 30 September 2022 akan menggalakkan permintaan untuk produk minyak sawit kerana ia meluaskan aksesnya kepada pasaran baharu seperti Kanada, Mexico dan Peru, yang tidak dilindungi oleh mana-mana Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada.


Katanya, berdasarkan Analisis Kos Faedah mengenai potensi kesan CPTPP, selepas ratifikasi dan pelaksanaan CPTPP, tarif untuk produk minyak sawit kini dikurangkan daripada maksimum enam peratus untuk Kanada, lima peratus untuk Mexico dan sembilan peratus untuk Peru kepada tarif yang lebih rendah berdasarkan jadual penghapusan tarif.


Selain daripada eksport minyak sawit yang lebih tinggi ke pasaran, penghapusan tarif meningkatkan daya saing minyak sawit Malaysia di negara anggota CPTPP, katanya.


"Eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit lain bagi Januari hingga November 2022 meningkat 1.3 peratus kepada 22.43 juta tan berbanding 22.14 juta tan dalam tempoh yang sama 2021.

"Harga minyak sawit yang lebih tinggi dalam tempoh itu meningkatkan jumlah hasil eksport sebanyak 31.8 peratus kepada RM120.43 bilion berbanding RM91.38 bilion yang direkodkan pada Januari hingga November 2021.

"Eksport minyak sawit saja meningkat sedikit sebanyak 0.8 peratus kepada 14.25 juta tan pada Januari hingga November 2022 berbanding 14.14 juta tan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya. Oleh itu, hasil eksport minyak sawit melonjak 31 peratus kepada RM80.22 bilion daripada RM61.26 bilion pada tempoh yang sama 2021," katanya.


Beliau juga berkata, pengeluaran MSM dijangka meningkat sedikit sebanyak 2.1 peratus kepada 18.5 juta tan bagi tahun ini berbanding 18.12 juta tan pada 2021.


"Kami menjangkakan pengeluaran minyak sawit akan pulih secara perlahan berikutan isu kekurangan buruh di ladang sawit, terutama untuk aktiviti penuaian dan pemunggahan buah tandan segar (BTS).


"Pengeluaran MSM diunjurkan terus meningkat kepada 19 juta tan bagi 2023 berikutan jangkaan peningkatan kawasan produktif terutama di Semenanjung Malaysia dan Sarawak," katanya.

Selain itu, situasi tenaga kerja mungkin stabil tahun depan kerana permohonan pekerja asing sedang diluluskan secara berperingkat.

Comments


bottom of page