top of page

NanoMalaysia Rintis Projek Pengecas Kenderaan Elektrik Guna Konsep RENEW


Sumber Foto : facebook NanoMalaysia


TEKNOLOGI | NanoMalaysia Bhd (NMB) bakal memperkasakan ekosistem kenderaan elektrik (EV) negara dengan merintis projek pengecas EV menggunakan konsep RENEW (Tenaga Nanogrid Boleh Diperbaharui).

Ketua Pegawai Eksekutif NMB berkata projek rintis itu dimulakan di stesen PETRONAS Temasya yang terletak di Lebuhraya Persekutuan.


Dr Rezal Khairi Ahmad berkata, konsep RENEW dikuasakan oleh teknologi tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui menggunakan panel solar dipertingkatkan nano.


Pembangunan teknologi itu, katanya dilaksanakan oleh Nano Commerce Sdn Bhd (NCSB), anak syarikat milik penuh dan cabang perniagaan NMB dengan kerjasama peserta sektor EV tempatan.


Jelasnya, RENEW secara kolektif terdiri daripada pengecas EV 50kW yang dicas pantas, panel PV solar dipertingkatkan nano dan bateri litium-ion.


"PV solar dipertingkatkan melalui salutan nano yang menambah sifat hidrofobik yang membolehkan kecekapan yang lebih tinggi semasa cuaca buruk.


"Dengan RENEW yang turut dikuasakan oleh tenaga suria dengan keupayaan penyimpanan tenaga, pergantungan sistem pada kuasa grid dikurangkan sehingga 20 peratus yang secara berkesan akan membantu penyahkarbonan Malaysia," katanya dalam kenyataan media pada 27 Disember 2022.





NMB adalah agensi peneraju penyetempatan pembangunan teknologi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).


Rezal Khairi berkata, projek rintis selama 18 bulan itu adalah sebahagian daripada inisiatif 'Enabling Mobility Electrification for Green Economy' (EMERGE) NanoMalaysia.


Beliau berkata, EMERGE menumpukan kepada pembangunan teknologi EV untuk menyokong mobiliti rendah karbon melalui peningkatan dan penggunaan sistem storan dan pengurusan tenaga, 'Internet of Nano-Things' dan stesen pengecas hijau luar grid serta membina prototaip EV sebagai platform pengesahan untuk penggunaan industri akhirnya .


Inisiatif itu juga, katanya menyokong sasaran Malaysia untuk mengurangkan intensiti karbon berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan mencapai neutraliti karbon seawal 2050.


Katanya, NMB menerajui agenda teknologi EV negara sejak 2021, bersama-sama dengan program pembangunan teknologi EV lain yang berkaitan seperti NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI), Hydrogen EcoNanoMy (HyEN), Rapid Electric Vehicles Innovation Validation Ecosystem (REVIVE) dan Campuses for Local Electric Vehicle Expeditious Roll-out (CLEVER).


"Projek rintis ini adalah hasil kerjasama strategik antara NanoMalaysia dan PETRONAS Dagangan Bhd selaras dengan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 bagi inisiatif awam-swasta peringkat awal untuk menyokong infrastruktur pengecasan bagi membolehkan dan menampung penembusan EV," katanya.

Komentáře


bottom of page