top of page

Model Kereta Baharu Bakal Jadi Tarikan Pembeli Pada 2023


Sumber Foto Hiasan : Unsplash


AUTOMOTIF | Bakal pembeli kereta mempunyai banyak pilihan model baharu yang menarik pada tahun 2023 dengan jangkaan PROTON memperkenalkan model baharu berasaskan Geely, manakala PERODUA bakal menampilkan sebuah model sedan baharu selain model Aruz dan Axia yang diperbaharui.

Sementara itu, Honda berkemungkinan besar membawa masuk model baharu WR-V dan memperkenalkan CR-V serta BR-V baharu, manakala Toyota dijangka menampilkan Vios dan Yaris serba baharu.


Dalam nota penyelidikan pada 5 Januari 2023, penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata memandangkan tempahan tertunggak kereta berakhir menjelang separuh pertama 2023, terutamanya dengan tarikh akhir penghantaran bagi pasca pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada penghujung Mac ini, pasaran sekali lagi dijangka menjadi berdaya saing untuk menerima tempahan baharu.


"Pengeluar peralatan tulen (OEM) dengan pelancaran model baharu pada 2022 hingga 2023 akan berada pada kedudukan lebih baik untuk menarik pelanggan dalam usaha mengekalkan volum jualan sehingga separuh kedua 2023," kata Daniel Wong.


Wong menjelaskan HLIB Research menjangkakan jumlah keseluruhan industri (TIV) akan bermula memberangsangkan pada 2023 berikutan usaha mempercepatkan penghantaran bagi memenuhi tempahan tertunggak sebelum pengecualian SST berakhir menjelang 31 Mac 2023.


"Bagaimanapun, kami menjangkakan TIV akan menjadi perlahan menjelang suku kedua 2023, berikutan penurunan tempahan baharu apabila pelanggan mungkin sudah membuat pembelian ke hadapan.



"Justeru, OEM akan perlu memanfaatkan model-model baharu yang menarik dan program jualan bagi mengekalkan jualan. TIV dijangka mungkin pulih menjelang akhir 2023 berikutan permintaan yang kembali normal dan jualan akhir tahun lebih agresif," katanya.


Sementara itu, beliau berkata jangkaan kenaikan berterusan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2023 kepada 3.25 peratus daripada 1.75 peratus pada awal 2022 mungkin memberi kesan kepada sentimen pengguna untuk membeli kereta baharu.


"Kami menganggarkan setiap kenaikan 25 mata asas akan memberi tambahan pembayaran bulanan RM15, berdasarkan harga kereta RM80,000, dengan permohonan 90 peratus pinjaman dan tempoh pinjaman sembilan tahun," katanya.


Wong berkata, ringgit yang dijangka pulih pula akan mengurangkan kos input efektif bagi kereta import sepenuhnya (CBU), kereta pemasangan tempatan (CKD) dan bahan mentah, sekali gus meningkatkan margin OEM.


"OWM yang mempunyai pendedahan besar kepada dolar Amerika Syarikat (AS) termasuklah Toyota (UMW) dan Nissan (Tan Chong Motor), manakala yen Jepun pula adalah Honda (DRB-Hicom) dan Mazda (Bermaz Auto)," katanya.


HLIB Research menjangkakan TIV pada 2023 akan mencecah 630,000 unit berbanding jangkaan rekod baharu 700,000 unit pada tahun 2022.

Comments


bottom of page