top of page

Mercedes-Benz Kekal Jenama Kereta Premium Paling Bernilai - Kajian


Sumber Foto : Unsplash


AUTOMOTIF | Jenama Mercedes-Benz terus melonjak dan kekal sebagai jenama automotif premium paling bernilai, demikian kajian Jenama Global Terbaik Global 2022.

Menurut kajian itu, nilai jenama Mercedes-Benz meningkat 10 peratus tahun 2021, sekali gus memberi penekanan kepada kejayaan peralihan syarikat ke arah masa depan elektrifikasi yang dipacu perisian.


Mercedes-Benz dalam kenyataan media berkata, pengeluar automotif premium itu memulakan penjajaran semula jenamanya tahun 2021 menerusi pengasingan Daimler Truck dan kemas kini strateginya.


Katanya, matlamatnya adalah untuk memberi lebih tumpuan kepada segmen mewah dan secara konsisten memanfaatkan peluang pertumbuhan serta keuntungannya.


"Mercedes-Benz menyasarkan untuk membina kereta yang paling dimahukan di dunia dan merampas kedudukan utama dalam segmen pemanduan elektrik dan perisian kenderaan.


"Untuk mencapai kedudukan jenama yang lebih tinggi secara struktur, portfolio model akan diselaraskan semula, seperti yang diumumkan syarikat pada Mei lalu.


"Keputusan strategik adalah untuk menjadi pengeluar kereta elektrik sepenuhnya dalam setiap segmen menjelang 2030 dan hasrat untuk menjadi syarikat neutral karbon dioksida (CO2) menjelang 2039 akan mengukuhkan lagi hubungan antara kemewahan dan kemampanan," katanya.



Sumber Foto : Unsplash


Naib Presiden Komunikasi dan Pemasaran Mercedes-Benz AG berkata jenama itu mengekalkan kedudukannya di tempat kelapan serta peningkatan dua angka dalam nilai jenama kepada lebih daripada AS$56 bilion (RM265.7 bilion) telah memberikan penekanan kepada hala tujunya.


"Ia membanggakan saya kerana kerja seluruh pasukan untuk jenama kami membuahkan hasil dan ditunjukkan dalam hasil yang hebat ini," kata Bettina Fetzer.

Fetzer berkata, sebagai tambahan kepada portfolio produk, keseluruhan model perniagaan akan berorientasikan lebih konsisten ke arah kemewahan di mana komunikasi dan jualan semakin tertumpu kepada keperluan serta kehendak pelanggan.


"Mercedes-Benz sangat mementingkan keperluan menjangkau pelanggannya dan kumpulan sasaran yang berpotensi secara langsung dalam persekitaran mereka sendiri dan untuk meningkatkan lagi kepercayaan pelanggan serta pengalaman jenama yang unik.


"Untuk tujuan ini, syarikat terbuka kepada kerjasama dengan personaliti dan jenama daripada pelbagai industri iaitu daripada teknologi kepada fesyen, muzik, filem dan sukan. Ciptaan bersama sedemikian membolehkan wujudnya perspektif baharu sepenuhnya," katanya.


Antara contoh kerjasama yang dilaksanakan Mercedes-Benz termasuk Mercedes-AMG dan Mercedes-Benz G-Class Private Lounge serta Kedai Mercedes-AMG di Dubai.


Mercedes-Maybach Atelier yang baru-baru ini dibuka di Shanghai juga adalah sebahagian daripada strategi keseluruhan syarikat itu.

コメント


bottom of page