top of page

Lebih 2,100 Penjual Raih RM5 Juta Buka Kedai Di Shopee




Lebih 2,100 penjual tempatan mencatatkan jualan tahunan lebih RM5 juta sejak menubuhkan kedai di Shopee.

Hasil Kajian Shopee Super Awards Milestone 2022 mendapati lebih 145,000 penjual tempatan mencatatkan pertumbuhan jualan 25 peratus dalam tempoh Oktober 2021 hingga September 2022 berikutan tahap perkhidmatan pelanggan yang berkualiti dan kedai yang dioptimumkan.


Malah, lebih 1,700 penjual tempatan barangan tulen Buatan Malaysia mencatatkan jualan RM1 juta sejak penyenaraian dalam pasaran dipacu platform 'hiperlokal' Shopee dan kempen e-dagang.


Shopee dalam kenyataan media pada 2 Disember 2022 berkata, usahawan tempatan terbabit menyediakan barangan berkualiti yang memenuhi pilihan tempatan rakyat Malaysia dengan purata penarafan kedai 4.9 daripada 5 dan 98 peratus pesanan dihantar tepat pada masanya.



Platform e-dagang terkemuka Asia Tenggara dan Taiwan itu berkata, penjual jangka panjang di platformnya juga mendapati bahawa pengalaman pelanggan yang lancar membuahkan hasil untuk pertumbuhan yang mampan.


"Berikutan keupayaan mereka untuk mengekalkan pelanggan setia dan mengurangkan kos pemasaran, setakat September 2022, lebih 2,100 penjual tempatan membuat jualan lebih RM5 juta sejak penubuhan kedai mereka di Shopee.


"Sepanjang tahun lalu, penjual ini mengekalkan penilaian konsisten 4.9 (daripada 5), masa maklum balas sembang pantas selama 125 minit dan hampir 99 peratus pesanan mereka dihantar tepat pada masanya," katanya.


Selain itu, Shopee memacu rangkuman ekonomi dengan menyepadukan dan meningkatkan kemahiran lebih 251,000 penjual tempatan yang mula menjual dalam talian tahun 2022.


Penjual pertama kali ke platform itu mengambil kesempatan daripada ekosistem yang teguh dan ciri inovatif untuk skala operasi dengan cepat dan mencapai pasaran baharu dalam talian.


Antaranya, lebih 140 penjual baharu merekodkan jualan lebih RM500,000 tahun 2021 dan mereka mengatasi prestasi rakan sebaya mereka dengan penarafan kedai melebihi 4.8 (daripada 5), 97 peratus kadar pemenuhan tepat masa dan kadar maklum balas sembang pelanggan yang pantas sebanyak 116 minit.


Ketua Kempen Pemasaran di Shopee Malaysia, Kenneth Soh, berkata pihaknya berbesar hati untuk melihat sejauh mana komuniti penjual, jenama dan bakatnya telah hadir dalam pasaran menjelang Shopee Super Awards pada 15 Disember.


Beliau berkata, ia berkat kerja keras kolektif mereka dan semua pengalaman beli-belah cemerlang yang mereka cipta untuk pembeli dalam talian, yang mana Shopee menduduki tempat pertama dalam Kedudukan Jenama Terbaik YouGov di Malaysia dan juga memenangi emas untuk Jenama Malaysia Paling Kukuh Kantar bagi kategori Peruncit Umum dan dan Aplikasi Gaya Hidup.


Selain pendidikan percuma untuk komuniti penjual melalui Shopee University dan Seller Summit, Shopee juga telah mencipta 'KOL masterclasses' dan 'Shopee Influencer Fest' untuk meningkat influencer dan memacu pertumbuhan mereka bersama penjual.


Awal tahun ini, kajian pasaran Shopee juga mendedahkan bahawa pempengaruh tempatan menjangkau khalayak yang lebih luas dan meningkatkan pembabitan pelanggan untuk penjual.


Antara penjual Shopee yang mencatatkan rekod jualan ialah Frederick Thoo, 41, dari kedai IFS1212, yang berjaya mencapai rekod tertinggi sebanyak 600 pesanan harian, dengan jumlah pesanan itu hanya boleh dicapai dengan menjual dalam talian.

Comments


bottom of page