top of page

Jumlah Jemaah Haji Pada Tahun 2023 Kembali Seperti Sebelum Pandemik


Sumber Foto : Unsplash


GLOBAL | RIYADH: Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tawfiq Al-Rabiah pada 9 Januari 2023, mengumumkan jumlah jemaah yang akan menunaikan haji pada tahun 2023 akan kembali seperti biasa seperti tahap pra pandemik.

Berita Agensi pada 10 Januari melaporkan berucap pada Ekspo Haji 2023 yang berlangsung di Jeddah, Al-Rabiah berkata, ibadah haji pada tahun 2023 juga akan berlangsung tanpa ada sekatan umur.


Pada 2019, kira-kira 2.5 juta orang menunaikan haji, tetapi dalam tempoh dua tahun selepas itu jumlahnya dihadkan secara drastik bertujuan untuk mengekang penyebaran COVID-19.


Sementara itu, Al-Rabiah berkata, kira-kira 400 persetujuan dijangka dicapai pada Ekspo Haji 2023 yang diadakan di Jeddah.


Persidangan dan pameran perkhidmatan Haji dan Umrah diadakan sejak 9 Januari hingga 10 Januari di bawah naungan Gabenor Makkah, Putera Khaled Al-Faisal itu bertujuan untuk membina ekosistem digital yang berkembang yang akan membantu jemaah haji untuk mempunyai pengalaman yang lebih baik.


Ia turut menghimpunkan individu berpengaruh dari seluruh dunia bagi membincangkan dan merancang kemajuan teknikal berdasarkan asas saintifik, malah bertujuan untuk menjangka keperluan masa hadapan jemaah haji serta mencipta peluang untuk perkongsian, perjanjian dan inisiatif pada skala tempatan dan global.


Al-Rabiah juga berkata, terdapat lebih 200 penceramah dan peserta pada majlis yang membentangkan projek dan inisiatif disediakan Arab Saudi untuk semua jemaah haji.


Beliau turut menekankan peranan besar kerajaan untuk memudahkan menunaikan haji dan umrah, merujuk kepada peluang unik untuk pemikir kreatif berkumpul dan berkongsi pengetahuan mereka serta mencapai objektif Wawasan Saudi 2030.


"Kami berharap untuk memuktamadkan lebih banyak perjanjian dan perkongsian perniagaan pada persidangan ini dan kami juga menjangkakan jumlah perjanjian itu akan mencecah 400," kata Al-Rabiah.


Beliau berkata, persidangan itu menarik perhatian antarabangsa yang meluas dan akan menampilkan kehadiran delegasi yang mewakili lebih daripada 56 negara, termasuk menteri, duta dan konsul.


Ekspo Haji itu juga menjadi tuan rumah kepada 10 sesi ucaptama, 13 panel, ceramah haji dan 36 bengkel, di samping pelbagai acara dan aktiviti berkaitan dengan mempromosikan budaya kualiti dalam menyediakan perkhidmatan haji dan umrah, pameran Islam, 'hackathon' haji dan bidang permulaan.


Kementerian itu juga sedang berusaha untuk menambah baik perjalanan jemaah ke dua masjid suci, di samping memperkayakan pengalaman agama dan budaya bagi memenuhi matlamat Wawasan Saudi 2030.

Comments


bottom of page