top of page

IMF Ramal Permintaan Luaran, Kewangan Ketat Jejas Ekonomi Malaysia 2023


Sumber Foto : Unsplash


EKONOMI | Kesan ketidaktentuan luaran serta keadaan kewangan global yang ketat dengan kenaikan kadar faedah yang menjejaskan permintaan dan pelaburan menjadi faktor utama yang mendorong Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran ekonomi Malaysia tahun 2023 kepada 4.4 peratus.

Ia selepas badan kewangan dunia itu mengunjur Malaysia mencatatkan pertumbuhan amat kukuh pada tahun 2022 dengan menaikkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada kepada 5.4 peratus berbanding unjuran sebelum ini sebanyak 5.1 peratus.


Ketua Bahagian Kajian Serantau, Jabatan Asia dan Pasifik IMF, berkata prestasi ekonomi Malaysia dijangka kukuh tahun 2022 dan ia adalah sejajar dengan prestasi ekonomi baharu muncul (EM) Asia lain.


Namun, beliau berkata, ketidaktentuan permintaan luaran dan keadaan kewangan global yang ketat menyebabkan pertumbuhan dijangka perlahan merentasi rantau pada 2023.


"Malaysia adalah negara eksport komoditi, namun ia lebih pelbagai dan mempunyai ekonomi berasaskan pengeluaran yang sangat bersepadu. Tahun ini (pertumbuhan ekonomi Malaysia) adalah kukuh sama seperti yang anda lihat di ekonomi EM Asia yang lain. Kami jangka pertumbuhan 5.4 peratus pada 2022.


"Bagaimanapun, ketidaktentuan permintaan luaran dan keadaan kewangan yang ketat, kami jangka ia memberi kesan kepada Malaysia dan kami jangka pertumbuhan berkurangan kepada 4.4 peratus tahun depan," kata Shanaka Jayanath Peiris.



Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kedudukan ekonomi Malaysia pada sidang media IMF mengenai Tinjauan Ekonomi Serantau untuk Asia Pasifik di Singapura: Belayar Menuju Ketidaktentuan yang diadakan secara hibrid, lapor BH Online pada 28 Oktober 2022/Jumaat.


Jayanath berkata, tahun 2023 adalah tahun mencabar dan IMF menjangkakan tinjauan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) lemah tahun depan.


Pada masa sama, beliau berkata, kadar inflasi juga meningkat, sekali gus mendorong bank pusat untuk menaikkan kadar faedah bagi mengawal inflasi.


"Apa yang kami lihat, inflasi keseluruhan akan berkurangan sedikit berikutan pengurangan harga komoditi.


"Namun, inflasi teras yang kekal tinggi dan faktor lain, kami jangka banyak negara di rantau ini akan kekal dalam kitaran mengetatkan (kadar faedah) untuk mengurangkan inflasi ke paras yang dijangkakan," katanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Asia dan Pasifik IMF, Krishna Srinivasan, berkata pemulihan ekonomi Asia yang kukuh pada awal tahun 2022 sudah kehilangan momentum, dengan suku kedua yang lebih lemah daripada jangkaan.

Beliau berkata, pihaknya telah mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi Asia dan Pasifik kepada 4.0 peratus tahun ini dan 4.3 peratus tahun depan, dengan masing-masing turun sebanyak 0.9 dan 0.8 mata peratusan berbanding Tinjauan Ekonomi Dunia pada April lalu.


Malah, jelasnya, unjuran pertumbuhan bagi rantau itu juga jauh di bawah purata 5.5 peratus yang dicatatkan dua dekad lalu.


Walaupun begitu, katanya, tinjauan ekonomi Asia kekal cerah berbanding ekonomi global yang semakin malap.


Mengulas lanjut, Srinivasan berkata, rantau Asia juga menghadapi tiga ketidaktentuan yang mungkin terbukti berterusan iaitu pengetatan kewangan global susulan langkah Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan kadar faedah secara lebih agresif bagi mengekang inflasi yang tinggi.


Beliau berkata, ketidaktentuan berikutnya ialah perang di Ukraine dan pertumbuhan perlahan mendadak ekonomi China yang dijangka memberi kesan limpahan kepada ekonomi Asia lain berikutan jaringan perdagangan dan kewangan.


Srinivasan juga melahirkan kebimbangan wujudnya petanda awal perpecahan berikutan ketidaktentuan dasar perdagangan yang meningkat dan negara mengenakan lebih banyak sekatan perdagangan.


Beliau berkata, walaupun ketiadaan sekatan sebenar, ketidaktentuan dasar perdagangan yang lebih besar boleh membawa kesan makroekonomi yang buruk dalam jangka pendek.


Katanya, kejutan biasa terhadap ketidaktentuan dasar perdagangan, seperti peningkatan ketegangan AS-China pada 2018, mengurangkan pelaburan sebanyak kira-kira 3.5 peratus selepas dua tahun.

"Laporan kami mempertimbangkan senario pemecahan mendadak yang mana dunia akan terbahagi kepada blok perdagangan yang berasingan, dan menunjukkan ia akan membawa kerugian output yang besar dan kekal.


"Oleh itu, kami menekankan keperluan kerjasama antarabangsa untuk membatalkan sekatan perdagangan, mengurangkan ketidaktentuan dasar dan menggalakkan perdagangan terbuka dan stabil di peringkat serantau dan global untuk mengelakkan senario pemecahan yang mudarat dan untuk memastikan perdagangan terus bertindak sebagai enjin pertumbuhan," katanya.

Comments


bottom of page