Sumber Foto: Unsplash
Harga emas dijangka mencecah paras AS$1,800 seaun (RM262 segram) menjelang hujung tahun 2022 berbanding AS$1,670 seaun (RM243.39 segram) ketika ini berikutan persekitaran pasaran yang lebih stabil, demikian kata pakar pasaran.
BH Online pada 19 September 2022 melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Singapore Bullion Market Association, berkata jangkaan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) akan terus memberi tekanan kepada pergerakan harga emas.
Albert Cheng berkata harga logam berharga itu dijangka berlegar kepada paras semasa sekitar AS$1,600 hingga AS$1,700 seaun buat masa ini di tengah-tengah persekitaran kadar faedah yang meningkat.
"Pasaran menjangkakan kenaikan kadar faedah AS sebanyak 0.75 hingga 1.00 peratus, yang mana jangkaan itu mendorong peserta pasaran memilih untuk menjual pegangan emas mereka dan ia menjejaskan harga.
"Namun, saya tidak jangka harga emas akan menyusut secara ketara dengan mencecah paras di bawah AS$1,500 seaun," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai tinjauan harga emas pada perbincangan panel industri bertajuk 'Adakah Emas Satu Aset Selamat dalam Situasi Ketidaktentuan dan Kadar Faedah Tinggi?' pada 19 September 2022.
Perbincangan panel itu diadakan sempena pelancaran kontrak Niaga Hadapan Emas (FGLD) Bursa Malaysia Derivatives Bhd yang ditambah baik hari ini.
Mengulas lanjut, Cheng berkata, harga emas dijangka tidak akan meningkat dengan ketara dalam tempoh terdekat untuk mencecah paras AS$2,000 seaun berikutan persekitaran kadar faedah yang kukuh.
Beliau berkata, apabila persekitaran pasaran kembali normal, harga emas akan dalam trajektori meningkat dengan peningkatan secara perlahan-lahan.
Katanya, permintaan terhadap emas masih utuh dengan pengguna terbesar emas adalah dari China dan India.
Comments