top of page

31 Anak Kapal HTMS Sukhothai Hilang Di Teluk Thailand Masih Belum Ditemui


Sumber Foto : Twitter


Pasukan mencari dan menyelamat Thailand menggunakan kapal perang dan helikopter bagi mencari 31 anak kapal jenis korvet HTMS Sukhothai yang masih hilang selepas kapal perang saiz kecil itu karam di Teluk Thailand.

Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 20 Disember 2022/ Selasa melaporkan mereka berharap jaket penyelamat yang dipakai dapat membantu bertahan selama dua malam di perairan bergelora itu.


HTMS Sukhothai karam lewat malam kelmarin/ 18 Disember 2022 di Teluk Thailand kira-kira 37 kilometer (22 batu) dari pantai tenggara negara Asia Tenggara itu.


Kapal perang HTMS Kraburi sudah meninggalkan pelabuhan untuk meneruskan pencarian awal untuk mencari 31 anak kapal yang masih hilang bersama kapal tentera laut lain dan dua helikopter Seahawk.



"Kita berharap akan menemui mangsa yang terselamat kerana mereka mempunyai jaket keselamatan.


"Tetapi saya bayangkan mereka pasti keletihan," kata Pegawai Tentera Laut, Narong Khumburi.


Usaha mencari anak kapal yang hilang tertumpu pada pencarian dari udara, dengan Tentera Udara Diraja Thailand turut membantu operasi itu.


Komander HTMS Kraburi, Kraiwit Kornraweeprapapitch berkata, cuaca yang sedikit bertambah baik akan membantu pencarian.


"Format pencarian masih sama iaitu operasi bersama helikopter," katanya.


Kapalnya dan 176 anak kapalnya akan menyertai HTMS Angthong, HTMS Naresuan dan HTMS Bhumibol Adulyadej dalam mengimbas kawasan seluas kira-kira 48 km x 40 km, dari Prachuab ke atas Chumporn.


"Kini, kita hanya memantau keadaan menggunakan helikopter," kata penyelam tentera laut Prawit Gongnak kepada AFP di jeti di bandar Prachuap Khiri Khan.


Prawit berkata, dia antara 29 penyelam yang bersiap sedia.


"Kami belum diarah untuk menyelam lagi," katanya.


Ahli Institut Perubatan Kecemasan Kebangsaan, Sahachart Limcharoenphakdee, berkata mereka bekerja dengan anggota tentera laut untuk membantu.


"Saya berharap dan mempunyai kepercayaan untuk pasukan penyelamat tentera laut yang mahir," katanya.


Komander Tentera Laut Thailand, Pichai Lorchusakul pula memberitahu pemberita di jeti bahawa mereka tetap fokus mencari mangsa yang terselamat.


"Keutamaan utama kami adalah mencari dan menyelamatkan seramai yang kami boleh," katanya.


Pichai menambah bahawa ia adalah 'kali pertama' Tentera Laut Thailand kehilangan kapal dengan cara sedemikian.


Menurut Tentera Laut, kapal korvet iaitu jenis kapal perang terkecil, dipercayai menghadapi masalah selepas sistem elektroniknya rosak,.


"Sistem pengendalian kapal berhenti berfungsi, menyebabkan kapal hilang kawalan," kata seorang jurucakap.


Beberapa bahagian di selatan Thailand dilanda ribut dan banjir sejak kebelakangan ini.


Amaran daripada Pejabat Meteorologi Thailand kekal pada hari ini/ 20 Disember 2022, dengan situasi angin kencang menyebabkan keadaan bergelora di Teluk Thailand dan mengeluarkan amaran kepada pelaut untuk kekal berhati-hati dan bot-bot kecil kekal di darat.


Menurut Institut Tentera Laut AS, HTMS Sukhothai ditauliahkan pada 1987 dan dibina di Amerika Syarikat oleh Syarikat Tacoma Boatbuilding yang kini tidak berfungsi.


Terdahulu, Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-Cha berkata punca kejadian sedang disiasat.


"Saya mengikuti perkembangan terkini, kira-kira lima orang cedera parah," katanya dalam satu kenyataan.

Comments


bottom of page