top of page

Rupanya Pelik Tapi Sedap, Inilah Mentarang




Oleh: Mohd Ezli Mashut


Rupa pelik, nama jarang didengari, namun siput mentarang mempunyai Keunikan dan keistimewaan tersendiri.


Biasa ditemui di Pantai Barat Semenanjung, hidupan laut bercengkerang ini popular di kawasan Sekinchan & Sabak Bernam, Selangor.


Siput Mentarang mempunyai kulit nipis dan lebih menggemari air yang mempunyai suhu rendah.

Mentarang atau nama saintifiknya Pholas orientalis hidup di kawasan air masin yang berlumpur. Ia biasanya hidup pada kedalaman antara 30 hingga 50 sentimeter di dalam lumpur.


Bentuk Mentarang yang bercengkerang seakan-akan Lala namun Mentarang lebih bujur dan panjang.


Isinya berwarna putih dan struktur cengkerangnya sedikit nipis dan rapuh sehingga boleh dipecahkan dengan hanya menekannya.


Ia biasanya dibakar dan dimakan dengan cicahan sos. Bagi mengekalkan tekstur makanan tersebut, disarankan untuk membakar mentarang menggunakan tempurung kelapa.


Ada sesetengah yang lebih menggemari untuk merebus mentarang tersebut.


Makanan 'rare' jika berkunjung ke Sekinchan


Mungkin bagi sesetengah orang, mentarang agak asing bagi mereka tetapi tidak bagi masyarakat di Sekinchan.


Hal itu berikutan, hidupan marin daripada spesis siput terbabit bukan sahaja salah satu sumber pendapatan, bahkan makanan eksotik berkenaan terkenal kerana rasanya yang cukup enak.


Justeru itu, tidak menghairankan jika mentarang dijadikan sebagai salah satu produk menarik bagi pelancong luar untuk mengunjungi Sekinchan.


Jadi jika berkunjung ke Sekinchan, cuba rasai keenakan mentarang.


Comments


bottom of page