SINGAPURA: Jerebu teruk merentas sempadan berisiko tinggi berlaku pada tahun ini di Indonesia, Malaysia, Singapura dan wilayah sekitarnya berikutan keadaan cuaca panas dan kering yang melampau.
Menurut laporan Tinjauan Jerebu terbaru oleh badan pemikir, Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA), El-Nino yang lebih panas diramalkan kembali.
Ini adalah kali pertama laporan tahunan yang diterbitkan sejak 2019 itu mengeluarkan penarafan 'merah' atau berisiko tinggi disebabkan oleh ramalan musim kemarau yang teruk pada separuh kedua 2023.
Skala penarafan itu bermula daripada hijau, menandakan risiko rendah dan kuning (sederhana) sehingga ke merah bagi tahap paling berbahaya.
"Setiap ramalan menunjukkan cuaca pada 2023 akan menjadi lebih panas lagi kering dan dijangka El-Nino akan muncul," menurut laporan itu.
Ia turut memetik ramalan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Negara Amerika Syarikat (AS) bahawa terdapat 84 peratus peluang El-Nino akan berlaku, melepasi julat sederhana kepada kuat.
Laporan itu menyatakan ia fenomena itu kait antara episod jerebu pada 2015 dan 2019 serta lonjakan cuaca kering daripada El-Nino dan Dipole Lautan Hindi iaitu perbezaan suhu antara permukaan laut antara dua kawasan atau kutub.
Bagaimanapun, risiko akan diturunkan kepada tahap sederhana (kuning) jika cuaca tidak menjadi kering seperti yang diramalkan, menurut laporan itu.
Laporan itu turut menyatakan, walaupun konsep pembakaran hutan (untuk membersihkan tanah) adalah menyalahi undang-undang di Indonesia, mungkin terdapat kepincangan seperti yang pernah berlaku pada masa lalu.
Pengusaha ladang kecil terutamanya masih mampu menjual produk mereka ke pasaran tanpa memerlukan pengesahan sijil amalan pertanian baik.
Laporan itu juga mengambil kira dasar kerajaan untuk mencegah kebakaran dan jerebu, menonjolkan komitmen pegawai dari Indonesia dan Malaysia untuk menambah baik sistem mengurus tanah dan sumber, selain mencegah kebakaran serta penebangan hutan.
Sementara itu, Pengerusi SIIA, Prof Madya Simon Tay, yang mengarahkan penerbitan laporan itu, berkata jerebu teruk akan sama dengan apa yang dialami Singapura pada 2015 dan 2019, di mana jerebu tebal akan berlarutan selama beberapa hari.
Bagaimanapun, beliau turut menyatakan terdapat kerjasama yang positif dalam kalangan negara ASEAN selatan termasuk Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand, apabila menteri dan pegawai kanan berkumpul di Singapura untuk mesyuarat mengenai pencemaran jerebu rentas sempadan pada 8 Jun lalu.
"Pada masa lalu, apabila terdapat isu kecemasan seperti ini, kami melihat isyarat mahu bekerjasama yang sangat sedikit.
"Apabila kebakaran pertama bermula, kami berharap dialog, perkongsian maklumat dan kerjasama ini akan diteruskan," katanya.
Sumber : AGENSI/ 22 Jun 2023
Comments