![](https://static.wixstatic.com/media/nsplsh_6435636456634e62394c63~mv2_d_2928_2280_s_2.jpg/v1/fill/w_980,h_763,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/nsplsh_6435636456634e62394c63~mv2_d_2928_2280_s_2.jpg)
PERUBAHAN IKLIM | CHICAGO: Gelombang haba yang berpanjangan dilaporkan terus mencengkam bahagian Selatan Amerika Syarikat (AS) dengan suhu tinggi meningkat melebihi 38 darjah Celsius.
Sementara itu, di beberapa kawasan lain di negara itu termasuk Chicago, turut berdepan ancaman lain iaitu kualiti udara yang tercemar akibat kebakaran hutan, lapor REUTERS pada 28 Jun 2023.
Ia menyebabkan pihak berkuasa memberi amaran supaya kanak-kanak, golongan berisiko dan orang tua supaya mengelakkan aktiviti luar.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memaklumkan kira-kira 62 juta rakyat AS di Arizona tengah, merentasi Texas, Deep South dan Florida berada di bawah pemerhatian pengawasan haba yang dijangka berterusan sehingga awal Julai.
"Kali ini risiko bahaya lebih tinggi berbanding cuaca panas biasa, disebabkan tempoh masa malam lebih pendek dan bacaan indeks haba yang tinggi pada siang hari.
"Adalah penting untuk mencari kaedah bagi menyejukkan keadaan dan mengurangkan pendedahan kepada bahang haba," katanya.
Menurut NWS, suhu indeks haba diramalkan mencecah 43 darjah Celsius di Dallas, 43.8 darjah Celsius di New Orleans dan 41.6 darjah Celsius di Mobile, Alabama, pada Selasa.
Susulan itu, NWS menggesa orang ramai di seluruh rantau itu untuk tidak terdedah kepada matahari selain banyakkan minum air.
Sementara itu, Datuk Bandar New Orleans, LaToya Cantrell, berkata perkembangan ini memberi ancaman kepada kesihatan.
"Ia tidak pernah berlaku sebelum ini... keadaan ini memaksa kita untuk membuka pusat berhawa dingin.
"Kami akan melakukan segala yang diperlukan untuk memberi perlindungan kepada mereka yang paling terdedah," katanya.
Sistem tekanan tinggi tetap di seluruh bahagian selatan yang memerangkap haba dan kelembapan, dikenali sebagai kubah haba, dilaporkan berlarutan sejak beberapa minggu lalu, sehingga menyebabkan kesan bahang.
Jumaat lalu, gelombang panas itu meragut nyawa seorang budak lelaki berusia 14 tahun yang sedang mendaki di Taman Negara Big Bend di Texas apabila suhu mencecah 48.3 darjah Celsius.
Sementara itu, di beberapa bandar di bahagian Utara Midwestern, amaran kualiti udara diaktifkan susulan jerebu akibat akibat kebakaran hutan di Kanada .
Berdasarkan laman sesawang yang mengesan pencemaran, IQAir, bandar ketiga terbesar di AS, Chicago pula mempunyai kualiti udara paling teruk berbanding kawasan lain.
Kira-kira 110,000 rumah dan perniagaan terjejas tanpa bekalan elektrik di Arkansas, Tennessee dan Oklahoma, selepas ribut kuat melanda hujung minggu lalu sehingga
memutuskan bekalan elektrik.
Saintis pula berpandangan, kekerapan dan cuaca buruk yang semakin meningkat di seluruh AS adalah kesan perubahan iklim, yang diburukkan lagi oleh perbuatan manusia. -
REUTERS
Comments