top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Untung Bersih AmBank Group Melonjak Kepada RM403 juta


Logo : AmBank


PERBANKAN | Keuntungan bersih AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) meningkat kepada RM403.29 juta pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2021, berbanding RM263.83 juta pada suku yang sama tahun lalu, lapor BERNAMA pada 25 Februari 2022/Jumaat.

Hasil naik kepada RM1.183 bilion daripada RM1.176 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada 25 Februari 2022/Jumaat.


Bagi tempoh terkumpul sembilan bulan, jumlah pendapatan kumpulan itu melonjak 3.5 peratus kepada RM3.54 bilion dengan bertambah 15.5 peratus dalam pendapatan faedah bersih (NII) didorong oleh pertumbuhan pinjaman dan pengembangan margin faedah bersih (NIM).


Perbelanjaan diurus dengan baik pada RM1.53 bilion, lebih rendah sebanyak 4.4 peratus.


Nisbah kos kepada pendapatan (CTI) meningkat kepada 43.4 peratus daripada 47.0 peratus setahun lalu, mencatatkan 'JAWS' positif (JAWS adalah istilah teknikal yang menunjukkan pertumbuhan pendapatan melebihi perbelanjaan) sebanyak 7.9 peratus.


Pinjaman dan pembiayaan kasar meningkat empat peratus atau RM4.5 bilion tahun setakat ini (YTD) kepada RM119.3 bilion dengan pertumbuhan dilihat merentas segmen pelbagai apabila pemulihan ekonomi memperoleh momentum pada suku ini.


Pinjaman perbankan runcit kekal sebagai pemacu utama, melonjak sebanyak RM2.7 bilion disumbangkan kebanyakannya oleh pinjaman gadai janji serta pembiayaan peribadi, diimbangi oleh pengurangan dalam pembiayaan kenderaan.


Ini diikuti oleh pinjaman perbankan borong dan perbankan perniagaan dengan masing-masing kenaikan sebanyak RM1.1 bilion dan RM792 juta.


Sementara itu, deposit daripada pelanggan meningkat sebanyak 3.5 peratus YTD kepada RM124.7 bilion.


Deposit bertempoh bertambah tiga peratus YTD dengan baki akaun simpanan akaun semasa (CASA) meningkat sebanyak 4.6 peratus kepada RM37.4 bilion.
"Kumpulan terus mengekalkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan nisbah perlindungan mudah tunai (LCR) sebanyak 164 peratus pada 31 Disember 2021," kata AmBank Group.

Mengulas mengenai prestasi kumpulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Group, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata kumpulan itu mengekalkan rentetan pertumbuhannya untuk menghasilkan satu lagi keputusan berdaya tahan ketika ekonomi terus pulih selepas terjejas akibat COVID-19.


Bagaimanapun, memandangkan keadaan semasa masih mencabar, beliau berkata kumpulan itu akan terus memudahkan akses kepada pembiayaan dan bantuan pembayaran balik melalui Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan atau URUS, inisiatif terbaharu oleh kerajaan.


Beliau menggesa pelanggan untuk menghubungi bank untuk mendapatkan bantuan.


Melangkah ke arah kemampanan, beliau berkata AmBank Group mengadakan hari alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) buat pertama kalinya pada 12 Januari 2022 untuk membabitkan diri dengan pelanggan dan pelabur dalam perjalanan kumpulan di bawah ESG.


"Disokong oleh asas-asas yang berdaya tahan, kami akan terus menyokong pemulihan ekonomi Malaysia sambil menggandakan usaha untuk terus memacu pertumbuhan dan kekuatan kewangan bank secara mampan," katanya.



7 views0 comments

Comments


bottom of page